Intima’ ‘Aqidi jamin istiqamah dalam perjuangan

- Advertisement -

TAPAH: Ahli-ahli PAS diseru agar bermuhasabah dengan meletakkan niat bergabung (intima’) bersama perjuangan ini adalah berasaskan intima’ ‘aqidi yakni ikatan keyakinan bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Kawasan Tapah, Ustaz Muhamad Firdaus Ariffin sebaliknya menegaskan, ahli PAS mesti menjauhi empat kategori intima’ yang menjerumus kepada penyimpangan dari perjuangan.

Iaitulah jelasnya, intima’ syakhsi yang lebih pada ketaksuban individu atau intima’ mashlahi iaitu kerana sesuatu kepentingan, mahupun intima’ ‘afawi yakni ikut-ikutan serta intima’ irtijal di mana secara kebetulan.

“Penyimpangan intima’ syakhsi ini adalah disebabkan ketaksuban kepada ketokohan pemimpin. Apabila pemimpin tersebut tiada dalam kepimpinan, akhirnya timbullah ‘jamaah dalam jamaah’.

“Penyimpangan intima’ mashlahi pula meletakkan kepentingan peribadi, perniagaan dalam perjuangan yang akhirnya mereka ini tercicir jika kepentingan dan perniagaan tiada dalam genggaman atau tidak dicapai.

“Manakala penyimpangan intima’ ‘afawi disebabkan ‘trend’ terkini, yang akhirnya mereka ini tiada ketetapan (tsabat), lalu tenggelam dan hanyut terumbang-ambing serta hilang arah dan hala tuju,” perinci beliau dalam program Santai BBQ Bersama Keluarga Usrah di PASTI Al-Mukmin Batu 3, Temoh, di sini kelmarin dahulu.

Manakala intima’ irtijal pula terang beliau, menyertai jamaah tanpa sengaja yang akhirnya menjadi musuh; ‘duri dalam daging’, ‘gunting dalam lipatan’ disebabkan tidak melibatkan diri dengan tarbiyah dalam membina tsaqafah berkaitan tuntutan, keperluan dan peranan terhadap perjuangan.

Beliau yang juga Pengarah ILHAM Negeri Perak mengingatkan, hal demikian akhirnya membawa kepada terbatalnya amal dalam mencari redha Allah, melainkan intima’ ‘aqidi memberi kekuatan bagi kelangsungan atau survival gerak kerja selaku amilin.

Turut hadir ke program yang menjadi penutup tahun 2019 bagi PAS Cawangan Batu 3 ini adalah Ketua Penerangan PAS Tapah, Zainuddin Mohd Shariff dan Ketua PAS Batu 3, Mohd Mzokhtar Mohd Salleh serta lain-lainnya. – HARAKAHDAILY 15/12/2019

- Advertisement -