Bintang Arsenal kritik kebisuan umat Islam

- Advertisement -

BINTANG bola sepak Arsenal, Mesut Özil mengkritik kebisuan umat Islam mengenai penindasan Kerajaan China terhadap etnik Uyghur di Xinjiang.

Özil beragama Islam dan berketurunan Turki telah memuat naik kritikannya itu dalam bahasa ibundanya di akaun Twitter dan Instagram beliau sebagai ‘East Turkistan: Bleeding Wound of Islamic Ummah‘ pada Jumaat.

- Advertisement -
Sumber Instagram Özil

Sumber Instagram Özil

Pemain bola sepak itu menggambarkan etnik Uyghur sebagai pejuang Mukmin yang bersendirian menentang penganiayaan China yang dilakukan secara paksa terhadap mereka supaya menjauhi Islam.

“Quran dibakar. Masjid ditutup. Sekolah teologi Islam, madrasah diharamkan. Ulama dibunuh seorang demi seorang. Namun begitu, umat Islam semua berdiam diri.

“Mereka tidak bersuara. Mereka telah mengabaikan masyarakat itu (Uyghur).

“Tidakkah mereka tahu bahawa membiarkan penganiayaan itu sendiri adalah satu penganiayaan? Saidina Ali, menantu Nabi Muhammad berkata, ‘Sekiranya anda tidak boleh elak penganiayaan, dedahkannya!” tegas Özil.

Beliau memuat naik kritikannya itu sebelum pasukannya bermain menentang Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.

Sementara itu, Kelab bola sepak Inggeris Arsenal menghantar kenyataannya di media sosial China, Weibo menjelaskan keengganan mencampuri kritikan Özil dan menegaskan kelab itu tidak akan sesekali mencampuri hal politik.

Dunia Islam jelas berdiam diri berhibung isu kekejaman terhadap etnik Uyghur Islam kecuali Turki yang lantang mengecam China, negara berkuasa dalam ekonomi.

Nasib etnik itu diikuti rapat di Turki berikutan perkongsian bahasa, budaya dan agama etnik berkenaan.

Panel pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sejuta etnik Uyghur dan minoriti berbahasa Turki di China dilaporkan ditahan di sebuah kem pendidikan vokasional.

Turki menyuarakan kekejaman itu kepada dunia dengan menyifatkan penahanan beramai-ramai etnik Uyghur Islam oleh kerajaan China sebagai satu keaiban besar kepada kemanusiaan.

Lantaran itu, kerajaan Turki mengutuk layanan China ke atas etnik Islam Uyghur dan melemparkan kritikan itu kepada kumpulan hak asasi berhubung penahanan beramai-ramai etnik itu.

Wilayah Xinjiang di Barat Laut China, yang didiami golongan minoriti itu diletakkan di bawah pengawasan ketat polis sejak beberapa tahun lalu, selepas ketegasan ganas antara etnik. – HARAKAHDAILY 15/12/2019

- Advertisement -