Bengkel Tekno Du’at hasilkan bahan dakwah

    - Advertisement -

    BANGI: Seramai 30 peserta mewakili Dewan Pemuda, Muslimat dan mahasiswa dari PAS Kawasan dan Negeri seluruh Malaysia telah menghadiri Bengkel Tekno Du’at yang diadakan di sini semalam.

    - Advertisement -

    Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Malaysia, Dr Mardhiyah Hayati Salleh berkata, bengkel ini akan dapat mengisi kekurangan bahan-bahan dakwah untuk digunakan bersama kepada pelbagai entiti dakwah di bawah PAS.

    “Bahan-bahan dakwah yang terhasil akan memudahkan para pendakwah mendekati masyarakat sama ada di media sosial mahupun di lapangan dengan sasaran dakwah lebih luas di mana skop penyediaan bahan merangkumi keperluan masyarakat Muslim mahupun bukan-Muslim.

    “Kerjasama daripada semua pihak dalam penyediaan, dan design bahan dakwah diharapkan akan mewujudkan medium dakwah yang berinovasi dalam penyampaian dakwah sesuai dengan kehendak masyarakat alaf baru,” jelasnya.

    Setiausaha Lajnah Dakwah Pemuda PAS Pusat, Ustaz Hafizul Husni Alias telah memberi penghargaan kepada semua peserta kerana dapat mencapai sasaran cabaran penganjur untuk menghasilkan 100 reka bentuk bahan dakwah dalam program tersebut.

    Beliau membangkitkan permasalahan yang berlaku terdahulu iaitu Lajnah Dakwah mengalami kekangan kerana kekurangan tenaga untuk menghasilkan bahan dakwah atau risalah sebagai edaran ketika melaksanakan street dakwah.

    “Program ini telah merintis penghasilan pelbagai bahan dakwah untuk sebaran ke seluruh negara dan ini akan disusuli dengan penyediaan ‘Manual Dakwah’ oleh Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai kit lengkap untuk para pendakwah PAS di Malaysia,” katanya.

    Bengkel yang bertemakan Membina Media Didik Islamik ini adalah anjuran bersama Lajnah Dakwah Muslimat PAS Malaysia dan Pemuda PAS Malaysia telah memilih Founder Tarbiyyah Kreatif, Ustaz Izzuddin Ismail selaku penceramah dan pembimbing.

    Antara pengisian bengkel oleh penceramah adalah mengenai Konsep Design, Teknik Viral dan ‘Tips and Tricks Fundamental Of Grafic Design’ yang telah menjadi panduan kepada para peserta menghasilkan bahan-bahan meliputi 24 maudhu’ dakwah yang telah ditentukan.

    Bersempena program tersebut juga, Lajnah Dakwah Muslimat telah melancarkan laman rasmi mereka iaitu Dakwah Muslimat Malaysia yang akan menjadi momentum untuk menyebarluaskan dakwah di media sosial. – HARAKAHDAILY 15/12/2019

    - Advertisement -