Ketuk di tempat yang betul

- Advertisement -

SAYA percaya kepada pengalaman yang mendewasakan dan mematangkan kita. Ia bukan hanya cerdik, kerana ramai juga orang yang cerdik, tapi tidak matang. Namun, orang yang matang, akan kelihatan cerdik walaupun kurang cerdik.

Tetapi seorang yang cerdik dan matang bersama pengalaman, ianya satu bonus dan jarang ada bersama kedua kualiti ini dalam diri seseorang. Kecerdikan memerlukan  pastinya usaha yang keras belajar, membaca dan mencari ilmu sebelum mencapai kebijaksanaan.

Dan sudah tentu masa yang panjang diperlukan bagi mematangkan diri dengan pengalaman-pengalaman yang sangat berharga. Ianya tidak boleh dikongsi. Ianya mesti dialami bagi merasa atau menghadamkan pengalaman itu.

Teringat saya kepada satu cerita yang pernah saya dengar dahulu. Cerita berkenaan sebuah kapal besar yang mengalami kerosakan enjinnya di suatu tempat pendalaman yang kebetulannya tidak mempunyai jurutera dan kemudahan komunikasi yang baik.

Maka berlabuhlah kapal itu berdekatan dengan pantai di kawasan pendalaman itu. Dengan menggunakan bot, mereka ke jeti mencari pertolongan. Ditanya orang sekitar untuk bantuan dengan harapan yang amat tipis.

Nasib mereka baik kerana ada seorang mekanik tua yang dikhabarkan pandai membaiki enjin. Apa yang mereka harapkan dari seorang tua dan untuk membaiki enjin kapal pula? Tetapi daripada tiada langsung, baiklah mencuba dahulu.

Mekanik tua itu pun bersetuju untuk membantu. Dia mengenakan syarat bahawa upahnya mungkin mahal. Kapten kapal bersetuju kerana dia tidak menaruh harapan yang tinggi kepada orang tua itu, bagi menjalankan kembali kapal itu dengan mudah.

Dengan membawa beg lusuh, serta beberapa alatan lain, dia masuk ke dalam bahagian enjin, diikuti oleh kapten dan berapa kelasi. Dia menanyakan beberapa soalan mengenai kerosakan dan kapten agak sinis menjawab soalannya. Dia memeriksa seketika.

Lalu diambilnya tukul, dan diketuk beberapa kali pada beberapa bahagian. Akhirnya enjin itu berjaya dihidupkan. Kapten sangat gembira dan kagum dengan apa yang dilihatnya. Akhirnya masalah mereka selesai.

Tiba waktu menerima bil, dituliskan upahnya ialah USD10 ribu. Terkejut sungguh kapten dengan harga itu. Kemudiannya dia membantah. Kenapa begitu mahal bilnya sedangkan si mekanik itu hanya mengetuknya di beberapa tempat sahaja.

Dengan tenang si mekanik itu menjawab, memang benar, kerja itu kelihatan mudah, kerana hanya mengetuk di beberapa bahagian sahaja. Tetapi harga bil itu menjadi mahal kerana ia memerlukan kebijaksanaan dan pengalaman untuk dia mengetuk di tempat yang betul.

Cerita ini saya yakin hanyalah cerita rekaan, tetapi pengajarannya ialah, pengalaman, ketenangan dan kepandaian seseorang, membuahkan hasil yang sangat baik dengan usaha yang sangat ringkas. Ianya berlainan sekali dengan golongan yang bodoh, gopoh dan melupai pengalaman yang lalu bagi menjadikan pengalaman.

Tun Mahathir kini, saya yakin dan percaya, sedang mengetuk dengan tepat, tempat di mana yang membolehkan enjin bagi kapal PKR menjadi rosak, tidak berfungsi. Jika salah gaya, ia mungkin karam. Tun menggunakan pengalaman dan kecerdikan beliau dalam politik untuk tujuan ini. Tenang dan bersahaja.

Manakala kapten kapal PKR, tetap mengunakan kaedah yang sama bagi mencapai tujuan, walaupun pernah hampir karam dahulu. Ia tidak belajar dari kegagalan lalu, ketika berada dalam Umno iaitu gopoh dan bodoh mempercayai Tun Mahathir.

Kini dia seperti mahu mengajak rakyat turut bersama dengannya bagi menentang Tun, yang mana Tun menggunakan sebahagian daripada ahli PKR sendiri sebagai askarnya untuk menumbangkan Anwar. Inilah pengalaman dan kebijaksanaan dalam berpolitik. Upahnya sangat mahal, semahal jawatan PM, kerana Tun tahu, di mana dan bila mahu diketuknya.

Dan bandingkan pula keadaan PKR yang dilihat sangat berserabut, kalut, bergaduh kerana jawatan, membuang rakan baik dahulu, dikata bersikap diktator. Malah dia semakin dibenci oleh rakan baiknya sendiri. Ianya dilihat jelas kelihatan bodoh dengan tindakan-tindakan yang tidak matang bukan sahaja dari ahlinya, tetapi lebih malang ianya dari Presiden sendiri.

Harapnya karamlah kapal itu, supaya senang dan tenang politik Malaysia.

MOHD NASIR ABDULLAH
14 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 14/12/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.



- Advertisement -
- Advertisement -