PROTAPAS mantapkan jati diri generasi Pasir Salak

- Advertisement -

PASIR SALAK: Dewan Pemuda PAS dengan kerjasama Ameerah Kawasan Pasir Salak telah menganjurkan Program Tarbiyah Anak PAS (PROTAPAS) bertempat di Sekolah Rendah Islam Nurul Iman (SRINI), di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Program ini bertujuan melahirkan generasi muda yang cintakan agama dan berpegang teguh pada syariat serta mempunyai fizikal kuat berdamping dengan kerohanian mantap agar sentiasa berada di landasan yang benar.

Selain itu, program melibatkan 29 peserta ini juga dalam membina pelapis bagi meneruskan perjuangan Islam yang telah dimulakan oleh ibu bapa agar perjuangan memartabatkan agama Islam ini berterusan hingga akhirnya.

Selama 3 hari 2 malam program ini dijalankan banyak aktiviti dilakukan antaranya merentas desa, riadhah, muhasabah akhlak, latihan dalam kumpulan, kawad kaki dan qiamulail.

Diselitkan juga pengisian rohani dengan tajuk Aqidah Muslim disampaikan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Pasir Salak, Ustaz Iqbal Mohd Zin dan Kesempurnaan Ibadah oleh Ketua Ameerah Negeri Perak, Ustazah Haslina Halid.

Tajuk Nabi Muhammad Tokohku oleh Setiausaha Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pasir Salak, Ustaz Habib Badlishah Mustapa  dan Akhlak Islami oleh Setiausaha Lajnah Penerangan dan Media Baru Muslimat PAS Malaysia, Normaziah Khori.

Program ini berakhir dengan penyampaian sijil dan ucapan penutup oleh Ketua Pemuda PAS Pasir Salak, Ustaz Zafarul Azhan Zan dengan harapannya agar segala ilmu yang diperolehi akan tertanam di dalam diri dan diamalkan setiap masa.

Turut hadir sama Ketua Muslimat PAS Pasir Salak, Jamaliah Sudin, Ketua Lajnah Pemerkasaan Parti dan Penolong Setiausaha Dewan Muslimat Pasir Salak, Faridah Dawam, dan Komanden AMAL Pasir Salak, Muhamad Syahrul Nizam. – HARAKAHDAILY 12/12/2019

- Advertisement -