Pilihan Raya PBT: DAP mahu apa sebenarnya?

- Advertisement -

PADA 8 Disember 2019, DAP mengulangi semula tuntutan untuk mengembalikan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan menjadikannya antara lapan resolusi yang diluluskan pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019. DAP menuntut Pilihan Raya PBT itu dengan alasan mahu demokrasi diamalkan di peringkat akar umbi dan memastikan akauntabiliti PBT kepada rakyat.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mempersoalkan apa motif sebenar tuntutan DAP yang mahu Pilihan Raya PBT diadakan semula? Adakah DAP sudah terlupa atau buat-buat lupa berkenaan pendirian rasmi Kerajaan Persekutuan berkenaan isu ini?

Kami mahu mengingatkan semula DAP bahawa pada 10 Disember 2018, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah pun menegaskan “Tiada Pilihan Raya Kerajaan Tempatan kerana ia boleh mengeluarkan hasil yang salah.” Perdana Menteri juga menjelaskan Pilihan Raya PBT boleh mengundang konflik di antara kaum dan melebarkan jurang bandar dan luar bandar.

Kami mendukung pendirian tegas Perdana Menteri Malaysia yang juga seiring dengan pendirian Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang semenjak dahulu konsisten mempertahankan pendirian PAS menolak Pilihan Raya PBT. Pendirian tegas Presiden PAS ini ada dinyatakan dalam satu artikel yang bertarikh 21 Disember 2018.

Presiden PAS antara lainnya menyebut, “DAP yang mendukung kuat Pilihan Raya PBT hanya mengambil kira kaum Cina yang mengundinya sahaja, tanpa mengambil kira kaum dan pihak lain yang menjadi nadi dan urat saraf dalam menghidupkan bandar yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang wajib dijaga segala hubungan dan sensitivitinya.”

Atas tujuan apa DAP mahukan Pilihan Raya PBT ini dilaksanakan semula sedangkan ianya tidak pernah dilaksanakan semenjak Kerajaan Persekutuan menggantungkan pelaksanaannya melalui Undang-undang Darurat pada tahun 1965? Adakah DAP mahu menguasai PBT yang berkuasa besar dalam menentukan dasar, polisi, dan pengeluaran pelbagai jenis lesen termasuklah lesen penjualan arak, premis perjudian dan pusat hiburan?

Dalam keadaan hidup rakyat di bandar yang kian tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat, sepatutnya DAP yang menjadi parti komponen kerajaan yang memerintah memikirkan solusi kepada bebanan hidup rakyat. Belum cukupkah lagi kuasa yang sudah dinikmati oleh DAP sekarang?

Pilihan Raya PBT juga akan menjurus kepada pembaziran wang rakyat kerana ia memerlukan kos wang perbelanjaan yang besar menelan jutaan Ringgit. Pemimpin ulung DAP, Lim Guan Eng sendiri yang siang-malam menyebut berkenaan hutang negara RM1 Trilion, jadi mengapa mahu membazirkan wang rakyat untuk tujuan menunaikan impian DAP ini?

Justeru, kami Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dengan tegas mendesak agar DAP mematuhi dan menghormati pendirian yang sudah dibuat oleh Perdana Menteri.

Seandainya DAP terus berdegil enggan mematuhi pendirian Kerajaan yang mereka sendiri pimpin maka sebaiknya DAP berundur keluar daripada terus menjadi duri dalam daging dan musuh dalam selimut Kerajaan Pakatan Harapan.

MOHAMMAD RASHIDI ABDUL RAZAK
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
12 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 12/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -