Asnaf Dun Penaga terima baucar zakat

    - Advertisement -

    KEPALA BATAS: Pusat Khidmat Adun Penaga telah menyampaikan sumbangan kepada 75 asnaf dalam Majlis Penyerahan Baucar Bantuan Awal Persekolahan, di sini semalam.

    - Advertisement -

    Sumbangan baucar yang ditaja sepenuhnya oleh Pusat Zakat Pulau Pinang itu telah disampaikan oleh Adun Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah kepada semua penerima.

    Penyerahan baucar kepada asnaf terpilih di seluruh Dun Penaga ini bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa yang berpendapatan rendah, anak yatim piatu dan ibu tunggal, bagi perbelanjaan awal persekolahan sesi tahun 2020.

    Sumbangan baucar ini meliputi pakaian sekolah di mana para penerima perlu ke kedai yang dinyatakan bertempat di Bertam Walk bagi menebusnya.

    Majlis penyerahan yang diadakan di Pusat Khidmat Adun Penaga ini adalah tahun kedua diadakan selepas PAS berjaya memenangi Dun Penaga dalam PRU14 pada Mei 2018 lalu. 

    ”Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada Pusat Zakat Pulau Pinang di atas bantuan awal persekolahan ini. Kami berharap agar sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ada dan menceriakan pihak yang menerimanya,” ujar Ustaz Yusni.

    Walaupun jumlah penerima baucar kali ini agak berkurang sedikit berbanding tahun lepas, beliau berharap agar pada masa akan datang, bakal penerima yang sememangnya layak tampil memberi butiran dengan lebih awal untuk memudahkan urusan.

    Majlis dihadiri juga Muslimat Majlis Tindakan Dun Penaga (MTD) dalam melancarkan sesi pendaftaran dan agihan kudap-kudapan kepada semua yang hadir. – HARAKAHDAILY 12/12/2019

    - Advertisement -