Amukan gajah liar: Tanaman penduduk musnah

    - Advertisement -

    LENGGONG: Lebih 50 pekebun kecil di Kampung Chepor dekat sini sekali lagi berhadapan amukan kumpulan gajah liar apabila beratus-ratus pokok getah, kelapa sawit dan pisang musnah dalam masa dua minggu.

    - Advertisement -

    Amukan kumpulan gajah liar itu bukan yang pertama kali, kerana hampir setiap tahun berlakunya seperti bermusim di mana datang dengan menyebabkan kemusnahan kepada tanaman para penduduk.

    Tinjauan Harakahdaily bersama Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Kawasan Lenggong, Zainuddin Abdul Rahim dan Ketua PAS Cawangan Kampung Chepor, Anuar Borhan menyaksikan hal tersebut, kelmarin.

    Ketua Biro Keselamatan Badan Kebajikan dan Khidmat Masyarakat (BAKIM), Kampung Chepor, Mohd Hanif Abdul Halim dan beberapa pekebun kecil mendapati, beratus pokok getah dikopak kulit, ditumbangkan dan dipatah-patahkan batang serta dahannya.

    Manakala ratusan pokok kelapa sawit pula ditumbangkan, dipatah-patahkan pelepahnya dan dicabut pucuknya, begitu juga dengan ratusan pokok pisang berangan, pisang abu dan pisang awak.

    Seorang pemilik kebun, Ahmad Hamizi Amri, 57, berkata lebih 30 daripada kira-kira 750 pokok getahnya yang berusia tujuh tahun dikopak kulit, ditumbangkan dan dipatah-patahkan.

    Menurutnya, kebun getah seluas empat ekar itu telah mengalami beberapa kali pemulihan akibat gangguan kumpulan gajah sejak berbelas tahun lalu dan amukan terbaru berlaku malam kelmarin.

    Seorang pekebun lagi, Mohd Noor Osman, 56, memaklumkan dia telah berbelanja kira-kira RM60,000 bagi mengusahakan kebun getah dan kelapa sawit hampir 10 ekar yang telah mengalami beberapa kali pemulihan.

    Jelasnya, bagi mengawal kemasukan terutamanya kumpulan gajah, dia telah memasang pagar elektrik, bagaimanapun gajah masuk setelah menumbangkan pokok ke atas dawai pagar.

    Seorang pengusaha kelapa sawit, Haizul Zakaria, 43, berkata 90 daripada 120 pokok kelapa sawit berumur 10 tahun musnah dikerjakan kumpulan gajah liar itu dalam masa beberapa malam.

    “Tidak banyak yang ditumbangkan, tetapi dikoyak pelepah-pelepahnya serta dicabut pucuk dan pokok-pokok kelapa sawit itu tidak akan berbuah lagi.

    “Sudah empat kali buat pemulihan, tapi kemusnahan kali ini saya berasa banyak sangat kerugiannya walaupun telah beberapa tahun dapat merasai hasilnya,” katanya.

    Sementara itu, Mohd Hanif berkata, pada awalnya hanya ada sekumpulan antara lima dan tujuh ekor, tetapi sekarang ini dianggar ada tiga kumpulan gajah itu dengan jumlah lebih 15 ekor semuanya.

    Menurut beliau, sepasukan Renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) ada datang membuat pemantauan, bagaimanapun kumpulan gajah itu tetap datang ketika tidak dipantau.

    Anuar Borhan pula berharap PERHILITAN dapat bertindak lebih kerap supaya gajah-gajah itu keluar dari kawasan kebun getah, kelapa sawit dan pisang milik penduduk sebelum kemusnahan menjadi lebih teruk lagi.

    Dalam pada itu Zainuddin berharap nasib dialami pekebun-pekebun kecil di Kampung Chepor mendapat perhatian serius Pengarah PERHILITAN dan Kerajaan Negeri.  

    Beliau difahamkan, terdapat lebih 60 ekar ladang getah, kelapa sawit dan pisang di kawasan Kasai, Cherok Sembok dan Tekok di kampung itu terbabit dengan gangguan tiga kumpulan gajah itu.

    “Sekiranya gangguan kumpulan gajah itu berterusan, lebih banyak kemusnahan akan berlaku ke atas tanaman penduduk dan kerugian akan bertambah-tambah lagi,” kesalinya. – HARAKAHDAILY 12/12/2019

    - Advertisement -