Nelayan dikhuatiri lemas, rakan selamat

    - Advertisement -

    KEPALA BATAS: Seorang nelayan dikhuatiri lemas, manakala rakannya terselamat selepas mereka terjatuh ke laut ketika merawai ikan pada jarak 40 batu nautika dari Jeti Kuala Muda, Penaga, di sini malam tadi.

    - Advertisement -

    Dalam kejadian 10.40 malam itu, Muhamad Redzuwan Ahmad Shafie, 21, dan rakannya berusia 37 tahun terjatuh selepas ombak besar memukul bot mereka setelah merawai ikan Tenggiri di Teluk Bahang sejak jam 4 petang.

    Adun Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah dan Penyelaras Kadun Penaga, Md Khalil Salleh serta Ketua Unit Nelayan, Arifin Mat telah hadir dan diberi taklimat oleh Penolong Penguasa Polis, ASP Anuar Wajidi.

    “Bot dinaiki mereka dipukul ombak membuatkan Muhamad Redzuwan dan seorang lagi rakannya yang juga nelayan berusia 37 tahun terjatuh ke dalam laut.

    “Bagaimanapun, rakan mangsa sempat berpaut pada bot dan terselamat. Tekong bot pula hanya jatuh di dalam bot,” katanya.

    Rakan mangsa memberitahu beliau sempat memerhatikan mangsa membuka baju dan terkapai-kapai, sebelum hilang dihanyut arus, di mana menurutnya, mangsa dipercayai tidak tahu berenang.

    “Kejadian turut disaksikan dua lagi nelayan dari bot berhampiran lokasi yang cuba membantu mengesan mangsa. Mereka juga memaklumkan kejadian kepada nelayan lain di darat untuk bantuan mengesan,” katanya.

    Maklum beliau, usaha mengesan mangsa giat dilakukan membabitkan kerjasama pihak berkuasa dan komuniti Maritim dan pihak Adun mendoakan pencarian Mohamad Redzuan dapat ditemui dengan secepatnya. – HARAKAHDAILY 11/12/2019

    - Advertisement -