X lewatkan akses Reuters, NY Times, saingan media sosial

- Advertisement -

NEW YORK: Syarikat media sosial X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter telah melewatkan akses kepada pautan ke kandungan di laman web media tersohor, Reuters dan New York Times serta platform media sosial saingannya seperti Bluesky, Facebook dan Instagram.

Selepas mengklik pautan pada X ke salah satu laman web yang terjejas mengakibatkan kelewatan kira-kira lima saat sebelum halaman web tersebut dimuatkan, lapor Washington Post, memetik ujian yang dijalankannya pada Selasa (15 Ogos), waktu tempatan. 

- Advertisement -

Reuters juga melaporkan mengalami kelewatan yang sama dalam ujian yang dijalankannya, juga pada Selasa, namun tidak dapat menentukan masa yang tepat bilakah X mula menangguhkan pautan ke beberapa tapak web di media sosial.

Jurucakap Reuters berkata: “Kami mengetahui laporan dalam Washington Post mengenai kelewatan dalam membuka pautan kepada cerita Reuters di X. Kami sedang meneliti perkara itu.”

Bluesky, saingan X yang mempunyai pengasas bersama Twitter, Jack Dorsey, tidak membalas permintaan untuk memberikan komen.

Meta, yang memiliki Facebook dan Instagram, juga tidak segera menjawab permintaan untuk komen.

Menjelang lewat petang Selasa, X bagaimanapun telah menghapuskan kelewatan tersebut; dan apabila dihubungi media untuk mendapatkan ulasan, pihak X dalam kenyataannya telah mengesahkan bahawa perkara itu  telah dialih keluar tetapi tidak menjelaskan apakah yang sebenarnya berlaku secara terperinci.

Pemilik Twitter, bilionair  Elon Musk, yang membeli platform berkenaan pada Oktober lalu, sebelum ini telah menyelar organisasi berita dan wartawan yang telah melaporkan secara kritis mengenai syarikatnya, termasuk Tesla dan SpaceX. 

Twitter juga sebelum ini telah menghalang pengguna daripada menyiarkan pautan ke platform media sosial yang bersaing dengannya.

Terdahulu, seorang pengguna di Hacker News, forum teknologi yang menyiarkan tentang kelewatan lebih awal pada Selasa dan menulis bahawa X mula menangguhkan pautan ke New York Times pada 4 Ogos lalu. 

Pada hari tersebut, Musk mengkritik liputan penerbitan Afrika Selatan dan menuduhnya menyokong seruan untuk pembunuhan beramai-ramai; namun Reuters bagaimanapun tidak mempunyai bukti bahawa kedua-dua peristiwa itu berkaitan. – HARAKAHDAILY 16/8/2023

- Advertisement -