Anak jati Langkap Johan Qari, Qariah Setiu

    - Advertisement -

    SETIU: Dua anak jati Langkap telah dinobatkan sebagai Johan Qari dan Qariah sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu malam tadi.

    - Advertisement -

    Juara Qariah, Nor Jannah Abd Rahman, 28, bersyukur atas kejayaan yang diperolehinya walaupun sudah ‘bercuti’ selama dua tahun daripada sebarang pertandingan sebelum ini.

    Katanya, kemenangan yang diraih itu memberikan semangat buat dirinya untuk terus melakukan yang terbaik di peringkat negeri nanti.

    “Ini peluang untuk saya perbaiki apa yang perlu diperbaiki, agar ilmu yang ada pada diri ini sentiasa bertambah dan berkembang dari semasa ke semasa.

    “Sebelum ini saya pernah menyertai pertandingan namun sejak dua tahun lalu (2017-2018) saya berehat seketika dan tahun inilah saya kembali,” katanya yang kini berkhidmat di Yayasan Islam Terengganu (YIT).

    Sementara itu, Johan Qari, Zulkifly Mohamed Adnan, 36, yang juga anak kelahiran Kampung Chalok Kedai berkata, dia tidak menyangka akan mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut.

    “Pertandingan sangat sengit, masing-masing menunjukkan bakat dan kelebihan tersendiri dan alhamdulillah saya merasakan nasib menyebelahi saya,” katanya.

    Zulkifly yang berkhidmat di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai pegawai sains sejak 10 tahun lalu berkecimpung dalam bidang tarannum seawal usia kanak-kanak.

    “Perlulah belajar secara berterusan. Sejak dari kecil lagi saya menuntut ilmu dari ibu sendiri, selepas pada itu, saya rasa berminat dan terus belajar.

    “Sekarang ini pun saya masih belajar sehingga ke Kelantan dan Kuantan, termasuk mendengar ‘voice’ ayah untuk belajar ilmu tarannum ini.

    “Selain itu, saya memanfaatkan masa dengan mendengar kaset, radio, dan ‘YouTube’ sebagai sumber menambah ilmu,’’ tambah beliau.

    Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program berkenaan bukan bertujuan untuk dijadikan alunan penyedap telinga semata-mata, tetapi ia adalah sebagai petunjuk kepada semua manusia.

    “Renungkan balik betapa susahnya para Sahabat mengumpulkan ayat-ayat al-Quran ini untuk dijadikan satu mashaf.

    “Kita sudah ada tersedia dengan pelbagai bentuk besar, kecil, yang ada terjemahan pun malas nak baca. Itulah jauh beza kita dengan para Sahabat Nabi S.A.W,” tegasnya merasmikan majlis tersebut. – HARAKAHDAILY 11/12/2019

    - Advertisement -