Pindaan Perlembagaan Umno kejayaan Muafakat Nasional

- Advertisement -

DEWAN Muslimat PAS Negeri Pahang bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada semua perwakilan persidangan Agung Umno yang secara jelas menyokong dan bersetuju dengan pindaan  Perlembagaan Umno sehingga sedia mengangkat dan mendaulatkan Islam sebagai teras Perlembagaan parti tersebut.

Tindakan sedemikian membuktikan bahawa Umno bersedia untuk menjadikan parti itu sebagai sebuah parti yang seiring dengan PAS untuk menegakkan Islam di Malaysia khususnya dan sedia memahami Islam sahaja yang mampu menghadapi apa jua cabaran yang mendatang

Sesungguhnya, persamaan Perlembagaan antara PAS dan Umno ini diharapkan dapat mengelakkan pelbagai manipulasi daripada pelbagai pihak termasuk ahli dan penyokong kedua-dua parti. Ini juga sebagai bukti kejayaan Muafakat Nasional.

Senario ini, diharapkan akan lebih menyedarkan rakyat Malaysia bahawa PAS dari dulu, kini dan pada masa akan datang tetap utuh dengan dasar Islam dan bercita-cita menegakkan Islam dalam kehidupan masyarakat dan negara.

Sudah diketahui bahawa al-Quran, as-Sunnah, ijma’ dan Qias adalah dasar perjuangan PAS. Maka, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa hanya Islam yang layak memimpin dalam keadaan masyarakat majmuk di Malaysia. Islam agama yang mendatangkan kesejahteraan dan keharmonian, berkebajikan dan adil.

Oleh itu, Dewan Muslimat PAS Pahang mengharapkan agar seluruh kepimpinan dan ahli Umno dapat merealisasikan dan menterjemahkan melalui perbuatan dan tindakan yang selari dengan Perlembagaan Parti yang dipinda itu. Umno juga perlu bersungguh-sungguh dan istiqamah dengan dasar Islam dalam pelbagai situasi

PUAN HAJJAH SALAMIAH MOHD NOR
Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang – HARAKAHDAILY 10/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -