Perlukah kita ketawakan krisis mereka?

- Advertisement -

MENGAPA itu yang kita bahankan?

(1)     Apabila saat PAS berkrisis, kita menunding jari itu salah mereka. Kita berdalilkan ia adalah proses tapisan Allah S.W.T. Lantas kita membacakan dalilnya.

Tetapi apabila PKR bergolak, kita mentertawakan mereka dan berdalilkan Allah memecah belahkan hati mereka. Lantas kita menceritakan kekuasan Allah S.W.T.

(2)     Perlu ingat, Allah S.W.T yang menyatukan hati manusia, dan Allah jualah yang memecahbelahkan hati manusia. Dialah yang berkuasa terhadap hati-hati manusia.

Hakikatnya kita dituntut oleh Allah S.W.T supaya ambil pengajaran, supaya kembali kepadaNya. Bukan mengejek dan mentroll pergaduhan geng PKR.

(3)     Kita juga dituntut supaya tidak menjadi proksi kepada satu pihak untuk menjadi batu api kepada pihak satu lagi. Mengapa kita tidak mengajak mereka untuk bersatu atas dasar Islam?

Apa untungnya mengejek mereka? Tidak bimbangkah jika ejekan itu makan diri sendiri? Yang dituntut ialah mengambil pengajaran bukan mengejek.

(4)     Yang bergaduh dalam video itu yang kelihatan hanya orang Melayu Islam. Bergaduh sesama parti atas sebab politik. Mengapa kita harus gembira?

Tidakkah kita sepatutnya kita sedih melihat Umat Islam bergaduh sebab bercakaran sesama sendiri? Walaupun idealogi mereka berbeza namun mengapa itu yang kita ‘bahan’kan?

Budaya mengejek

(1)     Kita perlu tinggalkan budaya mengejek itu dilakukan oleh facebooker yang tidak dikenali. Kita tinggalkan budaya itu dilakukan sesama mereka.

Tugas kita ialah mengambil pengajaran, dan menganalisa supaya kita dikurniakan oleh Allah S.W.T kesatuan hati yang konsisten, atas dasar Islam.

(2)     Media-media sedang menghurung PKR. Kita pula ketawakan mereka. Bayangkan apabila media-media menghurung PAS, dan memutar belit kenyataan kita.

Tidakkah kita turut marah? Ambil pengajaran. Jangan terikut dengan corak yang diaruskan oleh media. Kerana itu memang perancangan mereka.

(3)     Kenapa yang kita sibuk bekerja untuk menjadi alat satu kelompok, untuk menjatuhkan kelompok satu lagi? Sedangkan kerja memperkasakan jamaah itu lebih banyak.

Apabila dipanggil hadir ke Liqo Fikri, betapa beratnya papan punggung. Apabila dipanggil untuk berusrah, betapa berguninya alasan untuk tidak hadir.

(4)     Tetapi apabila ada isu panas, dengan sukarelanya sanggup menghabiskan masa depan internet untuk terlibat dalam perang saraf mereka sekalipun tidak menguntungkan kita.

Apa yang pernah kita usahakan untuk mengajak orang-orang PKR kembali kepada kesatuan Islam? Di kala mereka sedang tersedar betapa celarunya PKR, sepatutnya kita datang membawa risalah Islam.

Percaturan dan strategi

(1)     Apa pengajaran yang perlu kita ambil? Lihatlah bagaimana strategi mewujudkan gelombang itu diatur. Hendaklah dicetuskan huru-hara, supaya menarik perhatian media.

Ibarat seperti melumur najis supaya menarik perhatian lalat. Apabila media ‘beramai-ramai’ memberi fokus kepada PKR, ini bermakna mereka sudah berjaya wujudkan gelombang. Biarpun gelombang kekacauan.

(2)     Seluruh Malaysia sedang menumpukan perhatian kepada persaingan pengaruh dalaman PKR. Tetapi kita jarang mengkaji apa sebenarnya masalah mereka?

Yang zahirnya kita nampak mereka berebut untuk berkuasa. Tetapi hakikatnya masing-masing sedang bersaing untuk mendabik dada siapa yang lebih teruk ‘diuji’.

Tak semena-mena, fenomena ini telah menggambarkan bahawa PKR adalah pejuang sejati yang menuntut demokrasi yang bersih.

(3)     Mengkaji krisis bukanlah satu perkara yang mudah. Tetapi ia jauh lebih bagus daripada hanya tahu troll, kemudian tertawa sendirian depan handphone.

Persaingan pengaruh antara Azmin dan Anwar pastinya ada ‘orang ketiga’ yang sedang mencatur. Kita mungkin sedar hal ini. Tetapi kita tidak belajar betapa cerdiknya percaturan ini.

(4)     Mengapa kita tidak belajar cara mereka mencatur? Mengapa kita tidak perahkan keringat kita untuk bersungguh mencatur seperti mereka?

Cukupkah hanya sekadar berkata ‘kami hanya tunggu arahan’ dalam keadaan goyang kaki, dan tidak merancang apa-apa? Fikirkan

Gen Z yang kehausan

(1)     Ya, kita tahu bahawa di sana memang ada strategi melaga-lagakan musuh. Namun, yang menjadi masalah, kita sibuk melaga-lagakan musuh, tetapi kita tidak bersungguh mengikat hati sesama kita.

Di kala kita menonton pergaduhan mereka, dan di kala kita menyaksikan Mesyuarat Agung mereka yang bertangguh-tangguh, tetapi kita perlu sedar mereka punyai persiapan.

Iaitu persiapan untuk merubah landskap politik negara dengan naratif-naratif yang baru dan segar. Perkara ini wajar diberi perhatian walaupun ‘percent’ yang tak banyak

(2)     Mereka dilihat bersungguh-sungguh memasarkan idealogi masing-masing. Dengan pelbagai perencah seperti Maqasid Syariah, Muslim Demokrat, Negara Rahmah dan Rahmatan Lil Alamin.

Walaupun kelihatan sengal, tetapi jangan terkejut sekiranya ia ibarat air di saat Generasi Z sedang kehausan. Generasi yang bakal mencorak masa depan negara.

(3)     Gerakan Islam perlu sedar kewujudan mereka, dan bersedia dengan ‘persembahan baru’ untuk bersaing dalam persaingan idealogi

Kita perlu menang dalam persaingan tersebut. Sekiranya tidak, maka kita akan ketandusan pelapis. Apabila PAS memperkenalkan BPMS, kita bersikap acuh tak acuh.

Apabila PH membawa Rahmatan Lil Alamin kita ketawa. Apabila mereka membawa agenda Muslim Demokrat kita bising dalam whatsapp. Apabila DAP promosikan idealogi mereka, kita mengamuk.

Pengutip peluru

(1)     Kita patut berdiri atas pendirian kita. Kita adalah kita. Tak perlu terikut dengan arus mainan politik yang tak menentu. Bimbang akan lemas.

Tidak salah untuk ikuti perkembangan semasa. Yang salahnya ialah terikut dengan arus permainan yang membuang masa sehingga mengalihkan matlamat asal.

(2)     Jangan menjadi pengutip peluru, yang menembak secara rambang. Kerana kita tidak tahu siapa yang taburkan peluru itu di medan tempur maya.

Sebaliknya gunakan peluru yang betul, untuk tembak pada sasaran yang betul dan pada waktu yang betul. Berhati-hati kadangkala peluru makan tuan.

(2)     Baru-baru ini dalam Perhimpunan Agung Umno, telah memutuskan pindaan perlembagaan dengan meletakkan Islam. Ia adalah perkara yang ‘besar’.

Iaitu besar dalam merubah politik negara dengan skala yang besar. Cuma persoalannya bagaimanakah persiapan kita untuk berhadapan dengan perubahan ini?

(3)     Allah S.W.T mencipta alam yang bersifat berubah. Generasi itu berubah-ubah. Perubahan akan terus berlaku, tanpa menunggu kita.

Cumanya bagaimana Umat Islam bersedia berkembang mengikut perubahan. Atau berkeras untuk menolak sebarang perubahan? – HARAKAHDAILY 10/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -