PAN jangan jadi ‘kaduk naik junjung’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menyangkal cadangan perwakilan Parti Amanah Negara (PAN) supaya semua pertubuhan yang menggunakan nama Islam dibatalkan pendaftarannya kerana memberikan imej tidak baik kepada agama.

- Advertisement -

Menurutnya, semua manusia hendakkan Islam sebagai agama yang rahmah, memberi keharmonian dan menjadi penyelamat di dunia dan akhirat tetapi masih ada pihak yang membuat cadangan seperti itu.

“Tu dia, perwakilan PAN daripada Pulau Pinang cadang batal pertubuhan guna nama Islam. Ketika semua manusia hendak kepada Islam, tiba-tiba ada manusia yang kononnya slogan Rahmatan Lil Alamin cadang seperti ini.

“Saya hendak tanya, siapa yang tergugat bila guna nama Islam? Jangan seperti kaduk naik junjung. Apa yang kamu dapat dengan cadangan ini?” soalnya.

Terdahulu, merujuk laporan FMT, seorang perwakilan PAN dari Pulau Pinang ketika membahaskan ucapan presiden pada konvensyen nasional parti itu, Sabtu lalu mendakwa PAS dan Umno memainkan isu perkauman ke tahap yang kritikal sehingga dilihat menggugat kestabilan negara.

Berikutan daripada itu, perwakilan tersebut mencadangkan supaya semua pertubuhan yang menggunakan nama Islam dinilai semula atau dibatalkan pendaftarannya kerana memberikan imej tidak baik kepada agama.

Mengulas lanjut, Idris menyifatkan cadangan tersebut memberi gambaran seolah-olah sejarah pengkhianatan kepada perjuangan Islam dan bangsa akan berulang kembali.

“Patutlah, tengok negeri mana pula dia wakil. Tak perlu abang besar yang cadang (DAP), cukup manusia seperti ini sahaja yang cadang. Cukup pelihara manusia seperti ini sahaja.

“Sejarah pengkhianatan kepada perjuangan Islam dan bangsa akan berulang,” katanya.

Namun, jelasnya cadangan tersebut langsung tidak memberi apa-apa tekanan kepada parti PAS kerana yakin tidak semudah itu untuk dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 9/12/2019

- Advertisement -