Utamakan kefahaman dan luruskan perasaan

- Advertisement -

KEFAHAMAN diutamakan

(1)     Marah merupakan salah satu daripada bentuk-bentuk emosi. Emosi atau perasaan merupakan satu elemen yang diletakkan oleh Allah S.W.T untuk manusia.

Beberapa artikel saya sebelum ini ada menceritakan priority kefahaman berbanding perasaan. Bukan bermaksud manusia itu perlu hilang rasa.

Akan tetapi sekadar menyatakan bahawa kefahaman itu mestilah diutamakan berbanding perasaan. Perasaan seseorang hanya boleh dikawal melalui deria.

a-     Contohnya apabila seseorang melayan drama sedih, akan menitiskan air mata.

b-     Contoh yang lain seseorang yang melihat gambar kenangan boleh jadi timbul perasaan yang sama.

Adakalanya perasaan marah itu timbul setelah mana membaca akhbar, media cap ayam atau mendengar berita-berita provokasi.

Tidak ada manusia yang tidak mempunyai rasa atau perasaan sekalipun dikenali dengan hati kering. Ini kerana perasaan itu fitrah.

Di dalam Islam, sangat menekankan aspek kawalan perasaan. contohnya disiplin dalam mengeluarkan fatwa, hendaklah terpelihara daripada gangguan perasaan

Contohnya seperti marah dan sebagainya. Bimbang fatwa itu terganggu dengan perasaan yang tak menentu. kerana di dalam Gerakan Islam mestilah mendahulukan kefahaman berbanding perasaan.

Perasan mencetus kekuatan

(1)     Apabila kita meneliti perancangan musuh, kita akan dapati bahawa mereka sentiasa berfikir dan merancang untuk memprovok umat Islam sehingga melakukan tindakan luar kawalan.

Iaitu tindakan yang didasari dengan perasaan bukan lagi kefahaman. Kita perlu faham bahawa dengan perasaan tidak akan menyelesaikan masalah.

Tetapi dengan perasaan boleh melahirkan kekuatan fizikal.

a-     Contohnya apabila seseorang itu terlalu sayangkan seseorang yang lain maka dia akan sanggup meredah apa jua rintangan.

b-     Contoh yang lain apabila seseorang itu cintakan sesuatu dia akan sanggup berkorban apa saja untuk mendapatkannya.

Sebab itulah pengorbanan di jalan Allah S.W.T bukan hanya semata-mata perasaan, akan tetapi mestilah didasari dengan kefahaman.

(2)     Apabila kita meneliti Usul 20 dan Rukun Bai’ah Imam Hasan al-Banna kita akan dapati bahawa kefahaman merupakan perkara pertama di dalam ikatan hati.

Tindakan yang didasari dengan perasaan biasanya tidak konsisten. Ini kerana perasaan itu sendiri berubah-ubah setiap waktu.

(3)     Ini menunjukkan bahawa betapa kefahaman itu jauh lebih perlu diutamakan berbanding perasaan, khususnya di dalam usaha menggerakkan Islam.

Ya, walaupun perasaan itu boleh mencetuskan kekuatan, jangan sampai ia dimanipulasikan oleh musuh untuk memperalatkan Umat Islam.

Konsisten dengan kefahaman

- Advertisement -

وَٱصۡبِرۡ نَفۡسَكَ مَعَ ٱلَّذِینَ یَدۡعُونَ رَبَّهُم بِٱلۡغَدَوٰةِ وَٱلۡعَشِیِّ یُرِیدُونَ وَجۡهَهُۥۖ وَلَا تَعۡدُ عَیۡنَاكَ عَنۡهُمۡ تُرِیدُ زِینَةَ ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَاۖ وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُۥ فُرُطࣰا

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”

(al-Kahfi 28)

(1)     Perkataan sabar di dalam Bahasa Arab yang diletakkan di dalam al-Quran ditafsirkan sebagai konsisten berdamping dengan orang-orang yang soleh.

Yang dimaksudkan dengan orang yang soleh ialah mereka yang memperuntukkan masanya untuk beribadah kepada Allah S.W.T dan menyeru manusia ke arah kebenaran.

(2)     Daripada ayat ini juga kita boleh faham bahawa jangan disebabkan perasaan tertentu menyebabkan kita meninggalkan orang-orang yang soleh.

(3)     Kita boleh saksikan di dalam sejarah umat Islam, provokasi menjadi salah satu daripada senjata musuh Islam untuk memecahbelahkan Islam.

Provokasi boleh ditafsirkan sebagai senjata untuk mengkecamukkan perasaan. apabila perasaan sudah dikecamukkan, maka umat Islam akan melakukan tindakan yang tidak terkawal.

Provokasi

(1)     Contoh provokasi antaranya dilakukan oleh Lawrence Arabia ketika mana memprovok Syarif Hussein untuk membawa Negara Arab keluar daripada pemerintahan Uthmaniyyah.

Provokasi ini berhasil apabila Syarif Hussein melakukan Revolusi Agung Arab pada 1916/17. Hasilnya negara Arab terpecah daripada pemerintahan Uthmaniyyah.

Apabila Negara-negara Arab sudah terpecah daripada Uthmaniyyah, ia membuka peluang kepada Perancis dan British untuk menguasai Negara-negara Arab.

(3)     Walaupun banyak sejarawan menceritakan bahawa strategi Lawrence Arabia menggunakan kaedah penipuan, akan tetapi provokasi yang berbentuk sentimen itu turut ditanam.

Contohnya Lawrence Arabia mengatakan bahawa Syarif Hussein yang berbangsa Arab itu lebih mulia daripada orang Turki. Dalil-dalil yang berkaitan diputarkan untuk mengkecamukkan perasaan Syarif Hussein.

(3)     Selain daripada itu, kita perlu belajar daripada peristiwa Arab Spring 2011. kita boleh lihat bagaimana provokasi media akhirnya menghuru-harakan Negara Arab hingga ke hari ini.

(4)     Hari ini kita saksikan bagaimana seluruh dunia sedang diputarkan dengan agenda Global Protest. Hampir kesemua protest atau bantahan ini bermula dengan provokasi.

Bantahan dan revolusi ini lebih kepada sentimen atau perasaan, bukan lagi didasari dengan kefahaman. Kekuatan yang lahir daripada perasaan itu dimanipulasikan.

Dalam menjerat masyarakat ke dalam kancah Global Protest, mestilah dimulakan dengan provokasi atau menanam perasaan  bergelora, merasa tertindas dan sebagainya.

Meluruskan kefahaman

(1)     Di dalam kitab tasawwuf ada menceritakan bagaimana penyelesaian kepada sifat marah. Antaranya adalah dengan berfikir. iaitu berfikir ‘kenapa aku perlu marah’

Antara yang lain, berfikir ‘wajarkah aku marah?’. Golongan terdahulu khususnya Kabilah-kabilah Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad S.A.W mereka berperang atas nama sentimen dan perasaan.

Ada dari kalangan kabilah-kabilah itu berperang hanya disebabkan seekor unta. Ini menunjukkan bahawa setiap kali nak marah perlu berfikir panjang terlebih dahulu.

(2)      Begitu juga dengan perasaan cinta dan sayang. Ada dari kalangan manusia yang cintakan dunia sedangkan dunia tidak memberi apa-apa kepada dia. Maka apa rasionalnya cinta kepada dunia?

(3)     Apa yang ingin saya sampaikan di dalam artikel ini ialah kefahaman bahawa perasaan bukanlah penyelesaian masalah. Masalah boleh diselesaikan dengan berfikir merancang dan melaksana.

Bukannya dengan marah ataupun sebagainya. dalam masa yang sama tidak dinafikan bahawa perasaan itu boleh meningkatkan keimanan.

(4)     Boleh lihat karangan-karangan tokoh gerakan Islam seperti Syed Qutb dan Imam Hasan al-Banna. Laras tulisan-tulisan mereka ialah perasaan yang diselarikan dengan kefahaman.

Ini kerana perasaan itu adalah fitrah yang perlu diraikan secara tidak berlebihan dan diluruskan dengan kefahaman yang menjadi keutamaan.

(5)     Jadilah sepertimana pendekar-pendekar Islam dalam sejarah. Mereka marah dengan penjajah, atas dasar kefahaman. Mereka bertindak juga dengan kefahaman. – HARAKAHDAILY 8/12/2019

- Advertisement -