Krisis identiti dan Generasi Z

UMAT copy-paste 

(1)     Manusia dituntut untuk kembali kepada asal-usul tujuan penciptaannya sepertimana firman Allah S.W.T:

Advertisement



وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِیَعۡبُدُونِ 

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

(az-Zariyat: 56)

(2)     Allah S.W.T mencipta semua makhluk dengan tujuan untuk mengabdikan diri kepadaNya. Semua makhluk jelas memainkan peranan ini, kecuali manusia yang dikurniakan akal. 

Dengan akal, manusia adakalanya menjadi seorang yang baik. Namun ada kalanya dengan akal itu manusia menyimpang daripada ajaran Allah S.W.T dan menjadi penjahat yang hebat. 

(3)     Allah S.W.T menceritakan di dalam al-Quran tentang kesesatan golongan terdahulu bertujuan supaya manusia pada hari ini selamat daripada kesesatan tersebut. 

Namun apabila manusia hari ini tidak berpegang dengan al-Quran dan tidak mengkaji sejarah-sejarah golongan terdahulu, ini menyebabkan umat hari ini terikut dengan kesesatan golongan terdahulu. 

(4)     Meniru perangai orang terdahulu ini pernah disebut oleh Allah S.W.T:



وَإِذَا قِیلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُوا۟ مَاۤ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُوا۟ بَلۡ نَتَّبِعُ مَاۤ أَلۡفَیۡنَا عَلَیۡهِ ءَابَاۤءَنَاۤۚ أَوَلَوۡ كَانَ ءَابَاۤؤُهُمۡ لَا یَعۡقِلُونَ شَیۡـࣰٔا وَلَا یَهۡتَدُونَ 

“Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?”

(al-Baqarah: 170)



Krisis identiti

(1)     Apa yang dimaksudkan dengan krisis identiti? Krisis identiti yang saya maksudkan ialah manusia yang terlupa asal-usulnya. Identiti manusia sudah digariskan sebelum dilahirkan lagi:



وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِیۤ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّیَّتَهُمۡ وَأَشۡهَدَهُمۡ عَلَىٰۤ أَنفُسِهِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡۖ قَالُوا۟ بَلَىٰ شَهِدۡنَاۤۚ أَن تَقُولُوا۟ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِ إِنَّا كُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِینَ 

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.”

(al-A’raf: 172)



(2)    Krisis identiti juga merupakan salah satu penyakit bagi Umat Islam pada hari ini. Penyakit ini dilihat berpunca daripada kurangnya elemen tarbiah dalam diri. 

Iaitu manusia mem‘pulun‘ sesuatu yang bukan menjadi sebab penciptaan manusia. Allah tidak menciptakan manusia untuk mengejar dunia. 

(3)    Kita perlu melihat sejarah awal falsafah Yunan, ahli falsafah zaman tersebut, seperti Socrates (470-399 SM) yang pernah mengeluarkan teorinya bahawa setiap makhluk mesti bermula dengan air. 

Teori ini dilihat selaras dengan Firman Allah S.W.T;



وَجَعَلۡنَا مِنَ ٱلۡمَاۤءِ كُلَّ شَیۡءٍ حَیٍّۚ أَفَلَا یُؤۡمِنُونَ 

“Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”

(al-Anbiya: 30)



Socrates

(1)     Socrates (470-399 SM) dilihat membawa aliran falsafah yang agak melawan arus  ketamadunan Yunani di zamannya yang percaya kepada dewa-dewa karut. 

Pada era 399 SM, Socrates dihukum kerana didakwa menganut fahaman Atheisme yang tidak mempercayai dewa-dewa di Athena, Yunan. Idealoginya ini dikatakan merosakkan pemikiran anak muda. 

(2)     Antara yang menjadi sebab beliau dilabel sedemikian, ialah apabila beliau mendidik anak muda untuk mempersoalkan atau menimbulkan keraguan terhadap konsep pendewaan. 

Method Socrates ini akhirnya dianggap bahaya oleh Kerajaan Athena. Diceritakan bahawa beliau dipaksa untuk menggadai pendiriannya, atau minum racun. 

Beliau bertegas dengan kebenarannya, akhirnya menyebabkan beliau dijatuhkan hukuman dengan meminum racun. Demikianlah sejarah yang dapat kita lihat. 

(3)     Bukan sekadar itu, Socrates juga mengemukakan pengkajian tentang asal-usul manusia, tentang ketuhanan dan banyak lagi yang dilihat selari dengan Islam. 

Teori teorinya itu sekalipun ditolak oleh masyarakat dan pemerintah zaman tersebut, namun dikaji oleh generasi selepasnya. Apatah lagi karyanya dikaji oleh ahli falsafah Islam di zaman Abbasiah (750-1260) 

Susunan method falsafahnya berjaya menyangkal golongan Sophisme yang hanya berpijak di atas falasi-falasi. Sehinggakan falasi-falasi Sophisme boleh disusun dalam bentuk silibus khas. 

Generasi Z

(1)     Baru-baru ini ter’viral’nya sebuah surat yang ditulis oleh seorang kanak-kanak, menegur tindakan pak Imam dan AJK Masjid, yang menghalaunya solat di saf belakang. 

Ramai yang berbincang tentang hukum-hakam feqah. Tetapi ramai tidak sedar bahawa ia petanda bahawa Generasi Z semakin membesar dan matang. 

(2)     Siapakah Generasi Z? Boleh lihat gambar dan pautan yang disharing di bawah. Gen Z adalah generasi yang bermain di atas padang maya, bukan lagi padang tanah. 

Generasi Z dilihat suka kepada perbahasan berat dan lasak, yang mengetatkan minda. Mereka tidak mudah terpengaruh dengan promosi-promosi cap ayam. 

(3)     Apatah lagi mereka mudah untuk muak dengan realiti politik gaduh, politik menipu dan politik janji capati. Mereka lebih cenderung dengan rasional yang berhujah. 

Generasi ini bencikan ‘main kasar’. Mereka lebih suka bebas, dan berkuasa memilih laluan sendiri. Sebab itulah dalam artikel sebelum ini saya ada menekankan pasaran idealogi. 

(4)     Pasaran idealogi ini ialah dunia yang berada di bawah langit yang terbuka. Masing-masing berupaya untuk memasarkan idealogi masing-masing secara bebas. 

Produk-produk yang dipasarkan ini, akan dipilih oleh Gen Z secara bebas. Bukan dengan menyuruh, atau memaksa. Tetapi dengan bentangan-bentangan hujah. 

Mengandai masa depan 

(1)     Apabila Gen Z ini dipaksa untuk menganut sesuatu, mereka akan melawan. Namun apabila diajak berhujah dan berfikir, mereka akan tercabar. 

Dakwah yang bersifat menghasut, mengejek dan sewaktu dengannya akan di‘ignore’kan oleh Generasi Z ini. Mereka sukakan kaedah ajakan dengan cara berfikir dan hujah. 

(2)     Realiti ini seakan-akan hampir matchingdengan apa yang diceritakan tadi, tentang kisah hidup Socrates tadi. Seolah-olah Gen Z itu sudah wujud era Yunani. 

Gerakan Islam perlu menyedari kewujudan Gen Z ini. Mereka bakal mencorak masa depan Malaysia. Andai kita tidak menghiraukan kewujudan mereka, kita pasti ketinggalan 

(3)     Persaingan idealogi bakal menggegarkan  masa depan dunia. Masing-masing berlumba untuk memasarkan idealogi masing-masing secara bebas. 

Masing-masing berusaha gigih untuk ‘menawan pemikiran’ Gen Z. Mereka yang tidak bersedia dengan ilmu idealogi pastinya akan tertinggal dalam persaingan pasaran ini. 

(4)      Kalau selama ini kita bergerak secara jamaah dalam bentuk fizikal, namun, hari ini berjamaah itu diukur dalam bentuk whatsapp. Apabila left group dianggap lari  dari jamaah. 

Apabila group whatsapp ditubuhkan secara kecil-kecilan, seolah-olah menubuhkan jemaah dalam jemaah. Mungkin inilah gambaran corak masyarakat Generasi Z. 

Persoalannya, bersediakah kita untuk menerima Gen Z? Gaya dakwah apakah yang akan mencorak masa depan? Strategi apakah yang paling tepat untuk memasarkan idealogi kepada mereka? – HARAKAHDAILY 8/12/2019