DHPP, LPN perkenal PAS kepada bukan-Muslim

    - Advertisement -

    BUKIT GANTANG: Persahabatan erat antara PAS dengan parti-parti di dalam BN melalui Muafakat Nasional wajar diambil manfaat oleh Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) dalam memperkenalkan PAS kepada masyarakat.

    - Advertisement -

    Pengerusi LPN PAS Pusat, Dr Halimah Ali berkata, hal itu selaras saranan Presiden PAS agar ahli-ahli melebarkan kebaikan PAS melalui Muafakat Nasional di mana DHPP dan LPN mempunyai tugas besar untuk membawa suara parti khususnya kepada bukan-Muslim.

    “Dewan Himpunan dan Lajnah Perpaduan Nasional mempunyai peranan yang berkesan dalam menyampaikan mesej PAS kepada masyarakat Cina dan India selain mendengar suara hati rakyat bawahan khususnya di kampung-kampung dan estet”, katanya ketika berucap di dalam Majlis Hi-Tea Bersama LPN dan DHPP Negeri Perak di Simpang, dekat sini kelmarin.

    Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Pengerusi LPN Perak, Ustaz Azmi Murad serta Ketua DHPP Perak, S Suria Narayanan dan Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Muhammmad Faisal Abdul Rahman.

    Tambahnya lagi, berdasarkan statistik, rakyat negeri Perak berjumlah 2.8 juta orang yang mana seramai 850,000 terdiri daripada bukan Melayu, sekali gus mereka inilah sasaran tugas LPN dan DHPP dalam menyampaikan informasi mengenai PAS dan Muafakat Nasional.

    Sementara itu dalam ucapan aluannya, Razman mengucapkan tahniah dan penghargaan di atas usaha LPN dan DHPP untuk menjalinkan ukhuwah serta menyusun gerak kerja bersama dalam memastikan kejayaan cemerlang PAS pada pilihan raya akan datang.

    Tambahnya, sepertiga daripada kampung-kampung di negeri Perak diduduki oleh masyarakat Cina dan India manakala majoriti bukan-Muslim yang lain tinggal di bandar-bandar.

    “Inilah medan juang untuk LPN dan DHPP tempuhi tetapi gerak kerja kita pasti lebih mudah sekiranya kerjasama dengan MCA dan MIC dapat dijalinkan sebagaimana yang kita lihat dalam PRK Tanjung Piai baru-baru ini,” ujarnya.

    Majlis Hi-Tea ini dihadiri kira-kira 30 tetamu yang terdiri daripada Ahli-ahli Jawatankuasa LPN Negeri, DHPP Negeri serta wakil LPN dan DHPP Kawasan seluruh negeri. – HARAKAHDAILY 8/12/2019

    - Advertisement -