Akar buruk menumbangkan pokok baik

- Advertisement -

PENGERUSI Parti Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr secara terus-terang mengatakan bahawa kekalahan Bersatu dalam PRK Semenyih dan Tanjung Piai baru-baru ini ialah kerana faktor utama dan terbesar, mereka tidak mempunyai ahli yang ramai.
 
Jawapan yang berani dan tanpa berselindung itu, menjelaskan bahawa kedudukan parti politik di Malaysia ialah mesti ditunjangi oleh kumpulan penyokong yang ramai dan kuat. Mereka inilah yang dipanggil akar umbi sesebuah organisasi. Makin banyak akar dan umbi, makin kuat dan kukuh kumpulan itu.
 
Pertubuhan politik, tidak seperti pertubuhan atau NGO yang lain. Dalam NGO, mungkin boleh dipilih sesiapa yang mahu menjadi ahli berdasarkan kepentingan NGO itu. Jika NGO wanita, maka sangat dimaklumi yang keahlian tidak akan dibuka kepada lelaki, sebagai contoh yang sangat tepat.
 
Akan tetapi misalannya itu tidak boleh disamakan dengan keahlian parti politik. Sekira-kiranya mereka mahukan keahlian yang maksimum, tanpa mengira siapapun. Hanyalah mungkin pengecualian kepada mereka yang pernah berkhianat dengan dahsyatnya kepada parti lama, atau didapati bersalah dengan jenayah berat.
 
Tetapi, jika mereka itu penagih dadah, ataupun pengkhianat parti sekalipun, andai dikira boleh memberikan kemenangan kepada kumpulan mereka, maka, pintu parti sentiasa dibuka kepada mereka. Akan adalah alasan-alasan bagi membolehkan mereka diterima. Tiada musuh dan kawan yang kekal dalam politik. Satu undi penagih, adalah sama dengan satu undi seorang Profesor. Itulah sistem demokrasi.
 
Dalam pilihan raya, jika sesuatu kawasan mengundi itu dipelopori oleh ahli-ahli sesebuah parti dengan jumlah 51 peratus, maka dengan mudah dikatakan kawasan itu ialah kawasan menang. Ianya sifir mudah mengambil peratus keluar mengundi 100 peratus, kerana pilihan raya adalah mengenai bagaimana mahu mendapatkan undi pengundi ‘atas pagar’. Jika sudah 51 peratus keahlian, maka parti sudah tidak memerlukan undi lain.
 
Dalam PAS, sesebuah Cawangan yang hendak ditubuhkan itu mestilah mempunyai 25 orang ahli berdaftar, sebagai syarat minimanya. Manakala bagi penubuhan PAS Kawasan yang baru, 200 orang diperlukan. Dengan adanya kekuatan seramai ini, maka senanglah PAS mahu menjalankan kerja-kerja politik dan dakwahnya. Itu maksudnya.
 
Pentingnya Cawangan ini, pernah disebutkan oleh Almarhum Ustaz Hassan Shukri dalam ucapan perasmian Dewan Pemuda PAS Pusat di Kota Bharu, sekitar tahun 2004. Kata beliau, PAS kena perbanyakkan Cawangan PAS kerana ia adalah kekuatan parti.
 
Tetapi ada yang marahkan beliau yang juga Timbalan Presiden PAS ketika itu, kerana kononnya hanya mampu memikirkan tentang penambahan Cawangan, bukan kepada kemajuan parti yang lebih progresif. Apabila berlaku pilihan raya Kawasan si pengkritik itu, PAS kalah teruk kerana tiada orang yang mahu menjadi PACA, perayu undi dan sebagainya. Cawangannya hanya ada tiga, tapi sembang nak tawan negeri.
 
Oleh itu, tidak dihairankan jika ada parti-parti yang mengaku kononnya mereka mempunyai keahlian yang sangat ramai dengan hanya bercakap tanpa membuktikannya. Kita boleh melihat jika pada waktu pertandingan jawatan tertinggi, hanya ada 90 orang yang hadir, maka ianya adalah penipuan angka sahaja bahawa mereka ada 800 ribu ahli berdaftar. Tunjuk datanya tak pernah, tapi sembang tak kalah.
 
Dengan ahli yang cukup di Cawangan juga akan menjadikan kampung itu lebih tersusun seperti boleh menubuhkan AJK MPKK. Hairan, bagaimana mereka mahu menerajui kampung jika ahli hanya ada dua tiga kerat. Lebih sombong pula, tiba-tiba mahukan menubuhkan MPKKP dengan tidak diketahui siapa AJKnya. Paling bodoh bila minta pula duit royalti untuk dia uruskan.
 
Dan sekarang, dalam Kerajaan PH, akar umbi mereka kelihatan telah berubah dengan drastiknya. Bukan dari segi jumlah, tetapi dari segi idealogi mereka. Jelas dan terang, rupanya semangat Komunis, telah lama meresap dalam jiwa mereka. Kita tidak tahu sebelum itu. Mujur juga BN kalah.
 
Tun dahulunya cenderung membawa negara kepada Amerika. Tun tidak suka China yang menjadi pembuli di Asia Tenggara. Oleh itu, Komunis, cuba dijauhi Tun dengan merapatkan diri kepada Amerika sebagai kiasan. Namun, itu dulu. Sekarang Tun telah didesak dengan hebatnya dari dalam untuk membawa negara kepada Komunis.
 
Jadi kita dapat lihat bagaimana pemikiran Presiden PAS jauh ke depan, yang mahukan kita semua menyokong Tun sebagai PM sehingga habis penggalnya. Kita menjadi akar umbi sementara kepada Tun bagi menyelamatkan negara yang kita cintai ini daripada dimusnahkan oleh kumpulan Komunis. Bukan bermakna kita menyokong Tun dalam pilihan raya, tak. PH tetap kita kalahkan tetapi sokong Tun mempertahankan negara dari Komunis.
 
Apa yang kita boleh harapkan kepada manusia yang kononnya mengaku akan menggantikan Tun kerana sedang sibuk tuduh-menuduh sesama sendiri dengan kisah lender-lendir mereka. Sekarang sedang hebat berkelahi di kongres mereka. Jangan kita gadaikan negara kita ini ke tangan mereka itu. Tidak nampakkah arah ke mana arah negara nak dibawanya?
 
Akar umbi yang buruk, busuk, berkulat ini, akan memusnahkan pokok yang kita tanam dan jaga semenjak dahulu lagi. Pokok ini walaupun bukan yang terbaik dari segi kehendak Islamnya, tetapi jauh lebih baik daripada keadaan yang boleh kita bayangkan apabila ianya jatuh ke tangan mahkluk perosak itu.

MOHD NASIR ABDULLAH
6 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 6/12/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -