PAS Perak-HPA jalin kerjasama perkasa ekonomi ummah

    - Advertisement -

    TERKENAL dengan jenama kopi Radix dan Radix Fried Chicken atau RFC, Pengasas Syarikat HPA International, Haji Ismail Ahmad berkongsi ilmu mengenai pertanian dan penternakan dalam program pemantapan ekonomi yang berlangsung di Maahad Tahfiz al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah (MTQDI), Kampung Luat, Lenggong, kelmarin.

    - Advertisement -

    Program yang dianjurkan oleh Syarikat HPA dengan kerjasama PAS Negeri Perak, MTQDI dan NGO UMMAH Perak ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan kehadiran bukan sahaja daripada masyarakat sekitar Lenggong dan Negeri Perak, malah terdapat kehadiran dari negeri lain juga.

    Program ini dimulakan oleh ucapan aluan daripada Pesuruhjaya PAS Perak yang juga penaung MTQDI, Haji Razman Zakaria. Beliau mengajak hadirin berfikir mengapa umat Islam di Malaysia ketinggalan dari sudut ekonomi yang akhirnya mengakibatkan kuasa politik hampir terlucut dari tangan mereka.

    Menyambut baik usaha yang dilakukan oleh Syarikat HPA, beliau menyeru agar umat Islam membebaskan diri daripada cengkaman belenggu ekonomi melalui penguasaan rantaian pengeluaran. Pengalaman dan tunjuk ajar daripada usahawan Muslim sangat dialu-alukan untuk membimbing orang Islam menceburi bidang perniagaan secara lebih efisien.

    Aturcara selepasnya diisi oleh Pengasas HPA, Haji Ismail Ahmad. Perkongsian ilmu pertanian dan penternakan oleh beliau berjaya menarik minat hadirin untuk memberi respon dan bersoal jawab. Beliau memberikan penekanan mengenai pentingnya mengusahakan tanaman dan ternakan secara organik melalui baja POC (pupuk organik cair).

    Terang beliau, tanaman dan ternakan yang menggunakan kaedah POC memberikan hasil yang lebih baik berbanding kaedah lain, sambil beliau menunjukkan contoh hasil yang diperoleh petani dan penternak yang mendapat bimbingan beliau di Malaysia dan Indonesia.

    Antara perkongsian beliau yang menarik ialah mengenai jatuh bangun Syarikat HPA mengusahakan RFC. Suatu ketika dahulu RFC berkembang melalui rangkaian restoran yang berkembang dan hampir menyaingi restoran makanan segera yang ternama. Namun disebabkan beberapa faktor yang akhirnya membawa kepada kejatuhannya. Walaupun begitu Haji Ismail tidak mengalah atau berputus asa, bahkan beliau bangkit meneruskan usaha membangunkan kembali jenama Radix Fried Chicken.

    Sekiranya dahulu dapat dilihat RFC di kedai restoran, kini RFC mengambil strategi untuk bergerak melalui truk makanan. Sambutan masyarakat terhadap RFC amat menggalakkan kerana keenakan rasa ayam organik dengan adunan rempah ratus yang menjadikan rasa ayam RFC berbeza dengan jenama lain.

    Turut hadir dalam program ini Bendahari PAS Perak, Haji Ismail Ariffin dan Pengerusi NGO UMMAH Perak Dato’ Khalil Idham Lim serta pimpinan PAS peringkat Negeri Perak dan Kawasan. Program yang bermula sejak pagi berakhir pada waktu Asar. – HARAKAHDAILY 5/12/2019

    - Advertisement -