Agenda LGBT dalam Laporan SUHAKAM 2018

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) memuji tindakan SUHAKAM membentangkan Laporan Tahunan 2018 di Dewan Rakyat hari ini. Ia adalah bukti kebertanggungjawaban badan tersebut. Secara tidak langsung ia memberi peluang kepada Ahli-ahli Parlimen untuk meneliti perjalanan serta operasi SUHAKAM. Banyak perkara penting yang dilaporkan perlu untuk diberikan perhatian serius seperti perkahwinan kanak-kanak, orang asal, wanita, pelarian dan kewarganegaraan.

Walau bagaimanapun, satu bahagian dalam laporan tersebut tidak relevan iaitu dalam Bab 2 – Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LBGT).

Memetik beberapa petikan dalam laporan yang mengatakan, “pematuhan kepada pengkelasan dua jantina secara tradisi menyebabkan diskriminasi terhadap komuniti LGBT dan pelanggaran hak asasi mereka”. Bilakah Malaysia mula mengiktiraf LGBT sebagai sebahagian daripada nilai masyarakat di Malaysia? Apakah agama yang menerima LGBT sebagai sebahagian daripada ajaran mereka? Adakah Malaysia telah membina tandas khas untuk golongan LGBT?

PAS juga menempelak sikap SUHAKAM yang mendakwa sistem dwiperundangan yang terdiri daripada Undang-undang Jenayah Persekutuan dan Undang-undang Syariah merumitkan dan pada masa yang sama mendiskriminasikan komuniti LGBT. PAS ingin menegaskan bahawa Undang-undang Syariah telah menjadi teras utama sistem perundangan di Malaysia. Malah, dalam Perlembagaan Persekutuan telah jelas meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Adakah SUHAKAM mahu Undang-undang Syariah dimansuhkan demi untuk menjaga hak LGBT?

PAS mahu mengingatkan SUHAKAM supaya memahami konsep dan prinsip hak asasi manusia mengikut realiti sejarah, agama dan budaya Malaysia, bukan tertakluk kepada kehendak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Definisi hak asasi hendaklah merujuk kepada Seksyen 2, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1990 seperti yang ditetapkan dalam Bahagian II, Perlembagaan Persekutuan. Malah, Seksyen 4(4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1990 menetapkan rujukan kepada Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 hanya boleh dibuat sekiranya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. 

Sekian, terima kasih.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)

8 Rabi’ul Akhir 1441 | 5 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 5/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -