Tarik balik kemudahan Visa pelancong China

- Advertisement -

LAPORAN Ketua Audit Negara 2018 mendedahkan bahawa 76, 258 orang pelancong asing dari China dan 41, 243 daripada India tidak keluar dari Malaysia.

- Advertisement -

Laporan itu juga mendedahkan kelemahan dalaman yang serius dalam pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) dan MyIMMs ketika proses di pintu masuk pelancong.

Angka ini sangat membimbangkan lebih-lebih lagi reputasi warganegara China yang terlibat dalam jenayah yang mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Penglibatan warganegara China dalam sindiket penjualan kad pengenalan di Pulau Pinang dan terbaru, tangkapan 680 warganegara China di Cyberjaya yang disyaki terbabit dengan sindiket penipuan internet menunjukkan kemudahan visa yang diberikan kerajaan selama ini telah disalah guna.

Hal ini tidak menghairankan kerana pendaftaran bagi eNTRI hanya dilakukan secara atas talian dan tiada kelulusan diperlukan. Bahkan, pelancong China yang menggunakan kemudahan eNTRI boleh masuk ke Malaysia melalui 15 pintu masuk seluruh negara melibatkan 9 pintu masuk udara dan 6 pintu masuk darat.

Pendedahan audit bahawa pengurusan Jabatan Imigresen dan kawalan dalam di pintu masuk tidak mengemaskini data kemasukan pelancong secara manual dan offline adalah satu dakwaan yang berat.

Benarkah tiada pihak dalam yang terlibat dalam membawa masuk sejumlah besar pelancong China yang kemudiannya ‘bermastautin’ di Malaysia?

Saya mendesak kerajaan untuk menarik balik kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada pelancong daripada China untuk memasuki Malaysia termasuklah Program Pengecualian Visa melalui kemudahan eNTRI (Electronic Travel Registration and Information), kemudahan permohonan visa atas talian (eVisa), kemudahan mendapatkan visa di pintu masuk (Visa On Arrival – VOA) dan Multiple Entry Visa atau permohonan Visa dengan Kemasukan Berulang Kali.

Ketatkan proses kemasukan pelancong-pelancong dari China dan India atau hentikan buat sementara waktu sehingga kerajaan dapat mencari kembali ke mana perginya pelancong yang hilang selama ini.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
4 Disember 2019/ 7 Rabi’ulakhir 1441H – HARAKAHDAILY 4/12/2019

- Advertisement -