P’jaya Tinggi Australia lawat PAS Kedah

    - Advertisement -

    ALOR SETAR: Lawatan muhibbah Pesuruhjaya Tinggi Australia, Mr Andrew Goledzinowski ke Kompleks PAS Kedah petang semalam, antara lain membincangkan berkenaan sosial, ekonomi dan politik Kedah selain masa depan parti-parti pembangkang di negeri ini.

    - Advertisement -

    Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, ketika dihubungi Harakahdaily memaklumkan, kehadiran Mr Andrew ke negeri ini atas tujuan melawat dan bertemu semua pihak yang mempunyai peranan besar di Kedah sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

    Perkembangan semasa di Malaysia penting kepada Australia sebagai jiran berhampiran rantau ini.

    “Dalam pertemuan ini, kita juga melahirkan pandangan kepada beliau berkenaan pertumbuhan ekonomi Kedah yang agak perlahan, sektor pertanian yang belum dibangunkan sepenuhnya, kepentingan Kedah sebagai jelapang makanan, sementara zon industri pula memberi pulangan besar kepada Kerajaan Persekutuan berbanding kepada kerajaan negeri.

    “Di samping itu, kita menzahirkan sokongan PAS Kedah berkenaan pemberhentian aktiviti pembalakan yang membawa implikasi positif kepada alam sekitar, menangani pemanasan global dan pemuliharaan kawasan tadahan hujan untuk bekalan air.

    “Pada masa yang sama PAS mendesak Pulau Pinang membayar ‘pampasan’ RM20 juta setahun seperti yang pernah dicadangkan pada 2012, sewaktu PAS mentadbir negeri ini. Ini penting sebagai sokongan kepada Kedah untuk mengekalkan kawasan tadahan sebagai sumber air Pulau Pinang selain Kedah dan Perlis,” ujar beliau.

    Dalam hal lain, Sanusi yang disertai Adun Kuala Ketil, Major (B) Mansor Zakaria dan Adun Pedu, Mohd Radzi Md Amin berbincang berkenaan Orang Asal Malaysia dan Australia yang menghadapi isu yang hampir sama tentang pemilikan tanah dan undang-undang.

    Kata Adun Jeneri itu lagi, isu Orang Asli di Kelantan dipropaganda oleh musuh politik kerajaan negeri itu untuk memberi persepsi buruk, dengan menggambarkan seolah-olah pembalakan yang berleluasa mengancam kepada tempat tinggal mereka.

    Justeru itu keadaan sebenar tidak seperti itu dan ia lebih kepada hasutan untuk menimbulkan kekecohan.

    “Malaysia mempunyai undang-undang untuk melindungi semua pihak termasuk orang asli. Sama ada di Kedah mahupun Kelantan, terdapat kawasan hutan yang luas telah diwartakan untuk taman negeri walaupun pembalakan menjadi hasil bagi negeri-negeri berkenaan. Orang Asli tetap mendapat tempat dan hak mereka dalam negara ini,” tambah Sanusi lagi.

    Dalam pertemuan itu, mereka turut bertukar pandangan tentang usaha menyuburkan ideologi komunis, menggemburkan rasisme dan penguasaan politik kaum minoriti ke atas majoriti yang kini berlaku di Malaysia.

    PAS Kedah juga memaklumkan bahawa sejarah pembentukan Malaysia, asalnya Tanah Melayu dan realiti semasa rakyat berbilang kaum di sini berbeza sama sekali dengan Australia.

    Katanya, kontrak sosial yang dipersetujui oleh generasi terdahulu untuk menjamin keharmonian antara kaum tidak lagi dihormati dan kesannya amat merbahaya untuk semua pihak.

    “Sudahlah kekayaan ekonomi terlalu banyak dikuasai oleh kaum tertentu sahaja, kini mereka cuba membolot kuasa politik pula.

    “Semua bangsa ada negara, dibahagi-baha di sempadannya selepas Perang Dunia Kedua. Orang Cina ada China, orang India ada India, Benggali ada Bangladesh, Siam ada Thailand, Turkish ada Turki, Spanish ada Sepanyol, Irish ada Ireland, Melayu ada Tanah melayu/ Malaysia.

    “Kenapa tanah ini sahaja nak dijadikan hak semua orang seperti di Australia sedangkan sejarah kedua negara ini tidak sama,” tegas Ketua Pembangkang Dun Kedah itu lagi.

    Apabila ditanya berkenaan masa depan pembangkang, beliau meyakinkan pesuruhjaya tinggi itu bahawa pembangkang mempunyai masa depan yang cerah dan akan mengambil alih pemerintahan Malaysia dari tangan Pakatan Harapan pada PRU akan datang.

    “Bagi kami semua urusan pembahagian kerusi sama ada peringkat Dun atau Parlimen, diserahkan sepenuhnya kepada PAS Pusat dan negeri akan ikut keputusan tersebut,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 4/12/2019

    - Advertisement -