Perasaan, keinginan dan kefahaman

- Advertisement -

POST Morterm

(1)     Allah S.W.T berkuasa untuk membolak balikkan hati manusia. Kadangkala seseorang itu menjadi musuh, kadangkala boleh pula berbaik.

Di dalam hal ini, kita sebagai ahli gerakan Islam perlu sentiasa faham dalam apa jua tindakan kita. Agar tidak ke laut, dan mengundang tohmahan.

(2)     Syeikh Yusof al Qaradhawi pernah menegur sikap beberapa orang ahli Ikhwan Muslimin;

- Advertisement -



“Apabila mereka mencintai seseorang, mereka mengangkatnya sehingga ke langit ketujuh, dan jika mereka membencinya maka dia akan dijatuhkan ke bumi yang paling bawah



(3)     Kritikan jelas merupakan satu post morterm untuk meluruskan ahli gerakan Islam. Namun, ia dijadikan bahan oleh musuh untuk melabel gerakan Islam dengan pandangan yang serong.

Inilah cabarannya. Perkara seperti ini perlu ditimbang dan dinilai sebaiknya supaya seimbang di antara post-mortem atau muhasabah dengan kutukan dan hinaan.

(4)     Kita perlu faham bahawa perjalanan sesebuah gerakan Islam tidaklah dihiasi dengan permaidani merah, bahkan perlu dikorbankan nyawa dan darah.

Antara yang perlu dikorbankan ialah perasaan atau emosi dan utamakan kefahaman dan ilmu. pengorbanan perasaan ini pernah diceritakan oleh di dalam Sirah Nabi S.A.W.

Sirah Nabi Muhammad S.A.W

(1)     Di dalam Sirah Nabi S.A.W menceritakan bagaimana para Sahabat Baginda S.A.W mengorbankan perasaan sayang kepada ibu bapa dengan perjuangan bersama Nabi Muhammad S.A.W.

a-     Antaranya adalah kisah bagaimana Mus’ab bin Umair memeluk agama Islam di saat ibunya membenci perjuangan Nabi Muhammad S.A.W

b-    Antara yang lain apa ceritakan tentang Abu Ubaidah Al Jarrah yang berperang dengan bapanya sendiri kerana bersama dengan perjuangan Rasulullah S.A.W

(2)     Allah S.W.T berfirman;



قُلۡ إِن كَانَ ءَابَاۤؤُكُمۡ وَأَبۡنَاۤؤُكُمۡ وَإِخۡوَ ٰ⁠نُكُمۡ وَأَزۡوَ ٰ⁠جُكُمۡ وَعَشِیرَتُكُمۡ وَأَمۡوَ ٰ⁠لٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةࣱ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَاۤ أَحَبَّ إِلَیۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادࣲ فِی سَبِیلِهِۦ فَتَرَبَّصُوا۟ حَتَّىٰ یَأۡتِیَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا یَهۡدِی ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَـٰسِقِینَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”

(at-Taubah: 24)



Nabi S.A.W pernah bersabda;



لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده والناس أجمعين

“Tidak beriman salah seorang diantara kamu  (dengan keimanan yang sempurna – pent) sehinggalah aku lebih dicintai olehnya daripada ayah dan anaknya dan kaum Muslimin seluruhnya.”



Perasaan dan nafsu

(1)     ‘Perasaan’ sendiri banyak takrifnya di dalam Bahasa Melayu. Biasanya perasaan sayang dan benci sahaja. Akan tetapi di sana ada satu dasar yang mesti diperhatikan.

Iaitu keinginan. Keinginan boleh jadi didasari dengan kefahaman, boleh juga didasari dengan nafsu. Contohnya seseorang yang inginkan kenderaan bagi memudahkan perjuangannya.

Contoh yang serong pula seperti seseorang yang inginkan kenderaan hanya sekadar mengumpul koleksi yang membazir. Contoh yang kedua ini adalah keinginan yang didasari dengan nafsu.

(2)     Maka, keinginan ini juga perlu dikorbankan demi mengejar keutamaan (aulawiyat) yang lebih tinggi. Bahkan di dalam al-Quran sendiri mencela golongan yang menjadikan nafsu keinginannya sebagai tuhan;



أَفَرَءَیۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمࣲ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَـٰوَةࣰ فَمَن یَهۡدِیهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?”

(al-Jathiyyah: 23)



Imam Qurtubi menukilkan pandangan Sa’id bin Jubair tentang ayat ini menceritakan bagaimana orang terdahulu ada yang menyembah batu.

Kemudian setelah merasakan ada objek lain yang lebih bagus untuk disembah, mereka akan lemparkan batu tadi, dan menyembah objek baru.

Makan keliling

(1)     Berdasarkan beberapa penafsiran terhadap ayat al-Quran di atas, menggambarkan bagaimana sikap golongan yang telah disesatkan oleh Allah S.W.T.

Mereka hidup tiada prinsip. Bersikap pragmatik. Mana yang akan menguntungkannya, ia akan mengelilinginya sekalipun terpaksa gadaikan prinsip.

(2)     Ada juga yang jenis ‘makan keliling’. Orang ini akan menghurung apa yang memberi saham keuntungan untuk poket sendirinya. Sekiranya sesuatu prinsip itu tidak menguntungkannya, dia akan tinggalkan.

Seolah-olah agama itu menjadi barang dagangan. Nak beli atau tidak. Sikap ini berpunca daripada penyakit menjadikan nafsu sebagai matlamat perjuangan.

Penyakit ini dilihat sebagai kontra kepada ‘mengorbankan perasaan’ yang semenangnya dituntut dalam Islam, apatah lagi mereka yang ikhlas.

(3)     Sekiranya perasaan itu tidak sedia untuk dikorban, bagaimana pula sekiranya perasaan itu disogok untuk gadaikan prinsip kebenaran.

(4)     Perkara-perkara ini perlu diberi perhatian kerana menjadi salah satu penyakit dalam gerakan Islam. Iaitu apabila perasaan itu mendahului kefahaman.

Apabila berkawan, sangat sukar untuk menyatakan salah terhadap perbuatan rakan. Itu baru berkawan. Sejauh mana kemampuan untuk melawan arus perasaan ini?

Terkecundang

(1)     Dinukilkan daripada Saidina Ali R.A;



أَحْبِبْ حَبِيبَك هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَك يَوْمًا مَا وَأَبْغِضْ بَغِيضَك هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَك يَوْمًا مَا

“Cintailah orang yang engkau kasihi sekadarnya saja kerana boleh jadi kelak engkau akan membencinya. Bencilah orang yang engkau benci juga sekadarnya saja karena boleh jadi kelak dia akan menjadi orang yang engkau cintai”



(2)     Antara yang menjadi permasalahan dalam Gerakan Islam PAS satu ketika dahulu, apabila PAS ber tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR, ada yang ‘kecundang’.

Iaitu lebih percaya kepada DAP PKR berbanding sahabat sendiri dalam PAS. Arahan daripada Pakatan Rakyat seolah-olah mengatasi arahan pimpinan jamaah.

(3)     Penyakit-penyakit ini menyebabkan kecundangnya ahli gerakan Islam. Seolah-olah sudah terlarut dalam arus tahaluf yang tidak difahami dengan baik.

(4)     Ada pula yang memberi kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada ‘orang luar’ sehingga sanggup berkongsi rahsia. Kelonggaran ini boleh jadi berpunca daripada dua perkara.

Iaitu krisis kefahaman, dan kefanatikan berkawan. Fanatik berkawan ini bermula dengan ‘perasaan’. Apabila perasaan berkawan ini lebih tinggi, maka tenggelamlah nilai-nilai kefahaman.

Kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh rakan tersebut dibela. Menyebabkan apabila sudah putus rakan, sejarah dan kenangan itu tidak dapat dipadamkan.

(5)     Sebab itulah selain daripada korban harta dan nyawa, ahli Gerakan Islam perlu dilatih supaya mengorbankan perasaan apabila bertembung dengan kefahaman.

Penyakit apabila berkuasa

(1)     Ketika bertahaluf, DAP dan PKR tidaklah  dilihat bersemangat waja untuk mempertahankan PAS ketika diserang dengan saraf BN.

Namun apabila DAP PKR diserang, ahli PAS dilihat bersemangat untuk mempertahankan rakan. Mungkin kesemulajadian ini disebabkan kejujuran untuk berkawan

(2)     Sebab itulah Nabi S.A.W mengajarkan kewaspadaan. Apa yang berlaku perlu dijadikan pengajaran. Bukan untuk diejek atau dibahan.

Kerana bimbang apa yang dibahan itu kelak akan makan diri. Cukuplah apa yang dipersembahkan oleh Allah S.W.T pada hari ini. Menampakkan sikap kerajaan yang sengal.

Sebelum jadi kerajaan sanggup berdemo sejuk dan panas. Tetapi ketika sudah menjadi kerajaan mula dijangkiti dengan penyakit kebodohan yang pernah melanda BN sebelum ini.

(3)     Sebab itulah apabila PAS belum diberi kemenangan, PAS perlu jadikan segala peristiwa ini sebagai pengajaran supaya tidak diulangi ketika menang kelak.

(4)     Sebab itulah Nabi Soleh A.S berpesan kepada kaumnya supaya mengambil pengajaran daripada kejatuhan kaum Aad yang berkuasa sebelum mereka;



وَٱذۡكُرُوۤا۟ إِذۡ جَعَلَكُمۡ خُلَفَاۤءَ مِنۢ بَعۡدِ عَادࣲ وَبَوَّأَكُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ تَتَّخِذُونَ مِن سُهُولِهَا قُصُورࣰا وَتَنۡحِتُونَ ٱلۡجِبَالَ بُیُوتࣰاۖ فَٱذۡكُرُوۤا۟ ءَالَاۤءَ ٱللَّهِ وَلَا تَعۡثَوۡا۟ فِی ٱلۡأَرۡضِ مُفۡسِدِینَ

“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi”.

(al-A’raf: 74)

HARAKAHDAILY 4/12/2019

- Advertisement -