‘Hud Hud Runner’: Khidmat hantaran, peluang kerjaya

    - Advertisement -

    TAMBUN: Solusi terhadap peluang kerjaya dan kos sara hidup sangat dinantikan kebanyakan anak muda dalam berhadapan survival kehidupan yang kini semakin mencabar.

    - Advertisement -

    Di bawah Pemuda PAS Tambun, ‘Hud Hud Runner’ diasaskan Muhamad Mahathir Abdullah menawarkan perkhidmatan penghantaran dan peluang kerjaya yang menjadi bukti kesungguhan merancakkan ekonomi Islam.

    Exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Hafez Sabri berkata demikian ketika ditemui selepas kesudiannya hadir meraikan program Karnival Jualan Akhir Tahun 2019 anjuran Sekretariat Usahawan Tambun yang diadakan di Bandar Meru Raya, di sini kelmarin dahulu.

    Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Perak turut meluangkan masa bertemu mesra dengan para usahawan dan pengunjung serta memuji usaha pihak penganjur terus konsisten menyemarakkan semangat kerjasama.

    “Ketika ini bukan sahaja kita mendukung usaha kempen utamakan produk Muslim (BMF) tetapi turut menjayakan ke arah melahirkan lebih ramai usahawan Muslim dengan kempen ‘Sell Muslim First’ pula.

    “Kita turut berbangga ‘founder’ produk Muslim yang sangat berjaya di pasaran kini turut bersama seperti susu SUFFY, kopi biji kurma BEYMEN, serbuk koko COCOTEEN,” ujar Ustaz Hafez.

    Kehadiran syarikat HPA dan ‘Radix Fried Chicken (RFC) Mobile’ berjaya menarik pengunjung untuk membeli ayam goreng yang seratus peratus dikelolakan oleh Bumiputera Muslim bermula peringkat ternakan hinggalah jualannya.

    Yang DiPertua PAS Tambun, Ustaz Md Salleh Said turut berpesan agar setiap Muslim mesti terus memberikan sokongan kepada perusahaan dan perniagaan sesama Muslim dalam usaha memperkukuh ekonomi Islam.

    Turut hadir memberikan sokongan Pengarah Urusan My SUFFY, Sofian Tajuddin dan Pengasas COCOTEEN, PU Syed Bakri Syed Ishak serta Pengasas BEYMEN, Mohd Fariq Izwan Md Bahrin. – HARAKAHDAILY 4/12/2019

    - Advertisement -