Berpecah angkara tinggalkan Islam

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

SHAH ALAM: Perpecahan dalam kalangan umat Islam mutakhir ini disebabkan oleh orang Islam sendiri meninggalkan ajaran tersebut.

- Advertisement -

“Bukan salah Islam, tetapi salah orang Islam yang meninggalkan ajaran Islam,” demikian kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan Pidato Perdana: Bicara Ini Demi Perpaduan Sempena Pelancaran Buku beliau di Dewan Karangkraf, malam tadi.

Menurutnya, terdapat perbezaan kegagalan agama lain dan kegagalan ideologi ciptaan manusia kerana disebabkan oleh kelemahan agama dan kelemahan ideologi itu.

“Adapun Islam kerana orang orang Islam meninggalkan Islam. Ini perlu dikaji melalui ajaran Islam itu sendiri,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa Islam telah memerintah masyarakat majmuk setelah negara Islam berkembang apabila tumbangnya kerajaan Parsi dan Rom.

Akibatnya kata Tuan Guru Abdul Hadi wujud masyarakat pelbagai kaum dan bangsa yang memerlukan mesej Islam disebarkan kepada manusia secara praktikal.

Lantaran itu, Abdul Hadi berkata, ulamak Islam dahulu berijtihad bahawa wilayah yang memiliki masyarakat majmuk, ketua negara mesti ditadbir oleh orang Islam, adapun anggota kabinet boleh dibahagi dua iaitu wizarah tafwidh dan wizarah tanfiz.

Tafwidh ialah Menteri yang mempunyai kuasa ‘legislative’ membuat undang-undang, membuat polisi, membuat dasar.

Tanfiz ini ialah yang mentadbir dan mengurus, ia boleh dipilih dalam kalangan bukan Islam untuk memegang jawatan yang punyai kepakaran tertentu dalam kehidupan bermasyarakat.

“Islam membenarkan orang bukan Islam yang mengetahui akhlaknya baik, ada ilmu pengetahuan untuk bersama kerajaan Islam,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 4/12/2019

- Advertisement -