Benteng tiada punca limpahan Sungai Golok

    Adun Tendong, Rozi Muhamad turut menyediakan makanan untuk mangsa banjir banjir.
    - Advertisement -

    PASIR MAS: Angkara janji tidak menjadi kenyataan sejak lebih 10 tahun lalu menyebabkan penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Golok menjadi mangsa banjir setiap tahun.

    - Advertisement -

    Ketika merasmikan Jambatan Sultan Ismail Petra di Tendong pada 2003 Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan projek tebatan banjir dan lembangan Sungai Kelantan.

    Kemudian pada 28 Januari 2018 Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak sekali lagi mengumumkan projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Golok.

    Katanya projek tebatan dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 1 adalah antara senarai projek yang akan dilaksanakan.

    Menurutnya kerajaan persekutuan akan melaksanakan projek tebatan banjir bernilai RM300 juta di sepanjang Sungai Golok di Tumpat pada 2018.

    Sejak lebih 15 tahun lepas janji yang disebut perdana menteri tidak menjadi kenyataan.

    Sebaliknya di sebelah Thailand benteng semakin tinggi dibina. Benteng itu boleh dilihat bertentangan dengan Bandar Rantau Panjang dan Pekan Pengkalan Kubor.

    Kesannya hujan lebat di Narathiwat air melimpah ke Sungai Golok. Seorang penduduk dari Yala Ismail Abdullah berkata, hujan lebat di selatan Thailand sejak minggu lepas.

    Sehingga hari ini 9,070 mangsa banjir di Pasir Mas dan Rantau Panjang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

    Sebanyak 25 PPS dibuka di Pasir Mas dan Rantau Panjang ekoran limpahan Sungai Golok.

    Jumlah mangsa banjir di Pasir Mas melebihi separuh daripada seramai 12,312 mangsa banjir di Kelantan sehingga hari ini.

    Paling ramai mangsa banjir ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang iaitu seramai 1,828 daripada 637 keluarga.

    Kedua paling ramai mangsa banjir di jajahan Tumpat seramai 2,699 orang daripada 915 keluarga. Mereka ditempatkan di 7 PPS yang terletak tidak jauh dari Sungai Golok.

    Paling ramai mangsa banjir ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bunohan seramai 632 mangsa daripada 203 keluarga. Mangsa banjir tersebut dari Kampung Teluk Jering, Kajang Sebidang, Cherang Melintang dan Kampung Jal Besar.

    Antara Dun yang terjejas akibat limpahan Sungai Golok termasuk Gual Periok, Apam Putra, Tendong, Meranti, Pengkalan Kubor dan Kelaboran.

    Wakil-wakil rakyat dan petugas Pusat Khidmat Dun terbabit terpaksa bekerja siang dan malam bagi menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir. – HARAKAHDAILY 4/12/2019

    - Advertisement -