Tidak berlaku limpahan air di Pergau

    Muhamad Azli Ab Rahim bersama petugas media Kelantan.
    - Advertisement -

    KOTA BHARU: Orang ramai tidak perlu bimbang berhubung keselamatan Empangan Hidroelektrik Pergau Jeli yang diviral berlaku limpahan air, semalam.

    - Advertisement -

    Ketua Perkhidmatan Pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan, Muhamad Azli Ab Rahim berkata, sehingga jam 3 petang ini air di Empangan Pergau keluar seperti biasa untuk penjanaan kuasa elektrik.

    Katanya, air yang dilepaskan masuk dalam kolam dan keluar melalui pintu ke Sungai Pergau.

    “Ia langsung tidak ada kaitan dengan kejadian banjir mendadak di Kampung Chuchoh Puteri Kuala Krai seperti dakwaan sesetengah individu di laman sosial.

    “Air yang dikeluarkan tersebut mengikut prosedur operasi standard yang biasa bagi menjana kuasa dan keadaan terkawal,” katanya selepas majlis jamuan tengah hari TNB bersama Kelab Media Kelantan (Kemudi) di sebuah hotel hari ini.

    Hadir sama Presiden Kemudi Azran Abdul Rahim dan petugas media Kelantan.

    Muhamad Azli juga berkata, sejak empangan itu beroperasi pada 1997 tidak pernah berlaku sebarang limpahan. – HARAKAHDAILY 3/12/2019

    - Advertisement -