Siapa 367,379 penduduk di pulau buatan PSR?

    Angka sangat besar dari kadar kelahiran penduduk Pulau Pinang

    - Advertisement -

    KEPALA BATAS: Seramai 367,379 penduduk dianggarkan menghuni tiga pulau buatan dari projek pembangunan Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) pada tahun 2030 nanti merupakan satu jumlah yang sangat dicurigai.

    - Advertisement -

    Naib Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Farhan Yusri berkata, angka tersebut sangat besar berbanding tempoh masanya kerana kadar kelahiran di negeri ini hanyalah 12.3 peratus bagi setiap 1,000 penduduk.

    Kemusykilan tersebut disuarakannya dalam program FB Live: Bicara Pemuda Penang yang dimoderatorkan Ketua Penerangan Pemuda PAS Pulau Pinang, Ahmad Safuan Ujar di Pongsu Seribu, di sini kelmarin.

    “Kalau kita kira secara logik, sememangnya pada tahun 2030 ini tak akan capai bilangan seramai 367,000 orang itu. Di sinilah kami curiga, sebab dengan adanya isu pemberian kad pengenalan warga asing, kita risau ia akan diduduki warga asing, bukan penduduk (asal anak jati) Pulau Pinang.

    “Harga tanah pada ketika itu akan mahal. Harga melabur dan kesan langsung ialah penduduk Pulau Pinang sendiri tak mampu beli. Tetapi kita ingin tanya Kerajaan DAP, dengan semua halangan dan bantahan, mereka sedia batalkan projek ini?” persoal beliau.

    Sedangkan Kerajaan DAP menurutnya, marah apabila dikatakan pihak NGO bahawa Pulau Pinang akan menjadi seperti Singapura, selain telah disaksikan penjualan rumah mewah juga sedang bermasalah.

    Kemuka Farhan, daripada Laporan Stok Harta Tanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia, pada suku pertama 2019 sahaja terdapat 512,213 stok kediaman di mana 3,911 masih tidak terjual.

    Daripada jumlah tersebut perincinya, 3,396 atau 86 peratus adalah bernilai RM300,000 ke atas yang bermakna penduduk negeri ini tidak mampu membeli rumah dengan harga sedemikian mahal.

    Paling mengecewakannya apabila dibangunkan banyak kediaman yang harganya melebihi RM1 juta di mana menyaksikan ekoran tidak terjual, kerajaan telah mengumumkan harga untuk warga asing diturunkan daripada RM1 juta kepada RM600,000.

    Demikian banyaknya stok dan harga tinggi sedemikian ujar Farhan, bermakna kediaman tersebut sememangnya untuk dimiliki oleh warga asing yang kini dapat dilihat berlaku di Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya. – HARAKAHDAILY 3/12/2019

    - Advertisement -