Natijah konsep songsang Rahmatan Lil ‘Alamin

Tattoo Malaysia Expo 2019

- Advertisement -

KEJAYAAN penganjuran ‘Tattoo Malaysia Expo 2019’ yang berlangsung selama tiga hari di Kuala Lumpur dan diburukkan lagi dengan persembahan separuh bogel adalah amat memalukan pada masa Kerajaan sedang rancak memperkenalkan dan melaksanakan Dasar Rahmatan Lil ‘Ālamin dan Negara Rahmah.

Ia bukan sahaja menunjukkan kegagalan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang meluluskan acara itu kerana tidak memahami latar belakang dan realiti penganjurannya di merata dunia yang sering menggabungkan ‘tattoo and nudity’ sebagai suatu ‘seni’, bahkan memperlihatkan MOTAC sendiri pun tidak begitu memahami dan menghayati dasar yang telah dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Agama kepada semua Kementerian.

Jika MOTAC tulus dan serius terhadap dasar tersebut, pasti program sebegini dipantau dan dikawal dengan lebih ketat atau sepatutnya tidak meluluskannya dari awal lagi.

MOTAC bukan sahaja perlu melakukan siasatan menyeluruh mengenai insiden ini, juga Menterinya patut memohon maaf kepada masyarakat di negara ini yang berbudaya ketimuran lebih-lebih lagi majoritinya adalah beragama Islam yang sangat memelihara maruah dan harga diri.

Menteri Hal Ehwal Agama juga sewajarnya mengakui kesilapan beliau dan bertanggungjawab atas naratif yang kurang tepat dan salah dalam memperkenalkan konsep rahmatan lil ‘alamin yang sebenar sehingga menatijahkan insiden seumpama ini.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 3/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -