Bahas IPCMC ditangguhkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbahasan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019 (IPCMC) bagi bacaan kali kedua dan ketiga telah ditangguhkan ke sidang akan datang.

- Advertisement -

Pengumuman tersebut telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Dato’ Liew Vui Keong di Dewan Rakyat, hari ini.

“Bahawa mengikut peraturan mesyuarat 62, saya mohon untuk menangguhkan bacaan kali ke-2 dan ke-3 Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah laku Polis 2019 aturan mesyuarat hari ini, ke mesyuarat akan datang,” katanya.

Keputusan tersebut telah mendapat sokongan penuh daripada blok pembangkang yang mengatakan bahawa kerajaan telah mendengar keluhan para anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Laungan ”Hidup Polis” bergema dalam Dewan Rakyat hari ini menyatakan kesyukuran RUU tersebut ditangguhkan.

Sebelum ini, cadangan kerajaan untuk melaksanakan IPCMC telah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak yang meminta supaya ditangguhkan atau ditolak terus perlaksanaannya.

Pada minggu lalu, pihak Pembangkang sebulat suara menolak IPCMC dibentangkan di Dewan Rakyat berikutan bercanggah dengan perlembagaan.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man telah mewakili 18 Ahli Parlimen parti itu menolak cadangan pindaan RUU IPCMC tersebut dan meminta kerajaan supaya mengutamakan soal kebajikan anggota polis. – HARAKAHDAILY 3/12/2019

- Advertisement -