Apakah DAP melangkah jadi penjajah?

Tuntut hak milik tanah Kampung Baharu 999 tahun

- Advertisement -

TINDAKAN Naib Pengerusi DAP Negeri Perak, Abdul Aziz Bari dilihat menjadi pembela setia kepada kepentingan parti Cauvinis tersebut dan bukannya suara sewajarnya dari kerajaan. Malah, beliau menyerlahkan dirinya yang tidak layak distatuskan sebagai pakar Perlembagaan kerana telah ‘tergelincir’ dari menyelaraskan tuntutan parti itu selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, ia hanya menegaskan sikap melampau DAP yang membuat tuntutan untuk pemilikan tanah sehingga 999 tahun itu di mana jelas secara terpilih kepada satu kaum dan ekstrem. Lalu setelah menyedari rakyat tahu akan tujuan mereka, tiba-tiba cuba menjadi juara membawa retorik baharu kononnya turut memperjuangkan bagi tanah FELDA dan kampung tersusun.

Tuntutan luar biasa ini terlalu jauh dari hakikat kehidupan manusia dan keperluannya kepada tanah. Selain penting tanah bagi kediaman dan dimanfaatkan untuk tujuan kehidupan dalam mengeluarkan hasil, tanah juga menjadi hubungan untuk sesama manusia. Terutama antara pihak penguasa yakni kerajaan dan rakyatnya, selain aspek nilai hartanah bagi pelbagai tujuan lain.

Maka sudah tentu pemberian hak milik cuba dituntut DAP itu bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan, malah juga dari norma kehidupan manusia. Apakah sebenarnya desakan melampau ini cubaan DAP yang juga sebahagian dari pemerintah hari ini untuk mengubah perundangan tertinggi negara ini? Atau ia sebenarnya langkah-langkah penguasaan bersikap ‘penjajahan’ sistematik?

PAS Perak tegas menyatakan bahawa ini adalah agenda perkauman dan tidak menolak kemungkinan ia satu langkah ke arah ‘penaklukan’ masa depan menerusi pemilikan melampau sedemikian. Kami tegaskan, tanah berdaulat yang ada asal-usul sejarah dan menyaksikan kehidupan harmoni pelbagai kaum ini tidak harus diubah oleh sikap tamak dan rakus DAP berteraskan kuasa.

Kami mengajak rakyat untuk menyedari bahawa ini merupakan satu lagi manipulasi sedang dijayakan DAP dalam pelbagai gerak langkah sedang disusun parti itu dalam menjayakan agendanya. Kami mengingatkan DAP bahawa tanah sedang diduduki bumi Perak ini adalah tanah air yang merupakan sebahagian jasad dan roh serta keturunan dan harta kami. Tidak akan kami gadaikan sewenangnya.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB HAJI RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak/
ADUN Gunung Semanggol – HARAKAHDAILY 3/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -