Munaqasyah Pasir Salak hurai arahan Presiden

- Advertisement -

PASIR SALAK: Lajnah Penerangan PAS Kawasan Pasir Salak telah mengadakan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS bertempat di Pusat Aktiviti Sosial Chenderong Balai, di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Ia dilaksanakan bertujuan untuk memberi kefahaman kepada kepimpinan PAS di semua peringkat berkenaan teras yang terkandung dalam Ucapan Dasar Presiden PAS.

Ia juga untuk menterjemahkan dalam bentuk pelan tindakan agar jentera di peringkat akar umbi jelas mengenai hala tuju parti yang terkini dan mampu untuk bergerak secara tersusun dan konsisten.

Ucapan Dasar Presiden ini telah dibentangkan oleh Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Perak merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman.

Hurainya, Islam Memimpin Perpaduan menunjukkan bahawa Islam itu sangat berbeza dengan agama lain yang mana diwahyukan Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W daripada perkara kecil sehingga besar.

“Penyatuan Umno dan PAS telah wujud sekian lama dan telah diasaskan oleh ahli ulamak Umno masa itu, Tuan Guru Haji Puad Hassan. Oleh kerana terlalu banyak masalah dalam Umno maka Tuan Guru Haji Fuad Hassan keluar parti dan dari situlah bermulanya PAS bergerak secara aktif sehingga kini.

“Terlalu banyak perbezaan pendapat dengan Umno tapi jangan sampai bertelagah seperti penyatuan kaum Aus dan Khazraj yang mana mereka sering berperang tapi atas dasar Islam mereka dipimpin dan akhirnya perpaduan dapat diwujudkan,” ujarnya.

Beliau menegaskan beberapa perkara penting antaranya kewajipan menegakkan Islam, agenda perpaduan, politik damai dan diplomasi, damai adalah satu jihad, politik dakwah amar makruf nahi mungkar dan banyak lagi.

Pimpinan PAS Pasir Salak yang menemani beliau ialah Timbalan Yang Dipertua PAS, Ustaz Jamaluddin Yahya dan Ketua Penerangan PAS, Zaidi Harris serta Pengarah Pilihan Raya, Megat Norkamzul Saufi Megat Nordin. – HARAKAHDAILY 2/12/2019

- Advertisement -