HANRUH dan sekuriti makanan negara

- Advertisement -

KETIKA perbahasan Belanjawan 2020 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan minggu lepas, saya telah lontarkan salah satu konsep utama iaitu HANRUH (Pertahanan Menyeluruh). Aristotle pernah mengatakan, ‘A people without walls are a people without choice’. Rantau Asia Tenggara menjadi titik fokal penting selepas letusan Perang Dunia Kedua (1945) antara ‘International Communism’ dan ‘Free World’.


Susulan itu, beberapa ancaman keselamatan terus menggoyah kestabilan Asia Tenggara sekitar tahun 1945 hingga 1991. Antaranya, perang proksi di Vietnam, pergelutan sempadan Filipina terhadap Sabah, konfrontasi Indonesia – Malaysia dan Perang Dingin. Justeru, Malaysia mengambil langkah dengan bergantung kepada kuasa luar dan menyertai pakatan antarabangsa untuk memitigasi risiko dari dalam dan luar Asia Tenggara.

- Advertisement -



Di peringkat nasional, Malaysia juga berhadapan dengan pelbagai ancaman. Pra kemerdekaan menunjukkan cubaan beberapa kuasa luar seperti British, Jepun dan Komunis untuk meratah kepentingan negara. Selepas kemerdekaan, krisis prejudis mengheret keharmonian ke arah polarisasi perkauman yang semakin parah. Menyedari hakikat itu, Kerajaan mula menyusun keupayaan pertahanan dengan memanfaatkan sumber daya sendiri.

Tulisan Muthiah Alagapa (1990) bertajuk, “Malaysia: From the Commonwealth Umbrella to Self Reliance” telah menyatakan bahawa strategi pertahanan negara telah bertukar kepada ‘Self Reliance Defense Strategy’ pada 1980-an. Malaysia terus membangunkan aset pertahanan meski berhadapan dengan keterhadan dana selari dengan negara-negara ASEAN yang lain. Walau bagaimanapun, ia bukan bermakna Malaysia bersiap ke medan peperangan.


Dalam Dasar Pertahanan Negara 2010 telah menggariskan tiga prinsip utama pertahanan iaitu Prinsip Pertahanan Self-Reliance, Prinsip Kerjasama Serantau dan Prinsip Bantuan Luar. Prinsip Pertahanan Self-Reliance menyatakan secara jelas bahawa tanggungjawab mempertahankan negara bukan hanya dipikul oleh Angkatan Tentera Malaysia sahaja bahkan seluruh rakyat Malaysia. Di samping itu, kerajaan juga turut memperkenalkan salah satu doktrin pertahanan iaitu HANRUH (Pertahanan Menyeluruh) atau ‘Total Defense’ pada bulan Mei 1986.


HANRUH yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara merupakan lanjutan daripada KESBAN (Keselamatan dan Pembangunan) yang pernah dilaksanakan oleh Majlis Gerakan Negara sejak tahun 1970. Memetik pandangan daripada Mohd Zackry Mokhtar (2006), “HANRUH is a Total Defense concept created by Malaysia which was introduced by the National Security Committee in May 1986 in order to plan out a defense strategy which was concrete and holistic. HANRUH emphasizes on the use of human resources which was efficient, economical strength, unified actions from all government agencies as well as good international and regional relationship as a strategy to ensure the strength and sovereignty of the nation intact”.

HANRUH bukan konsep baharu. Ia telah dilaksanakan oleh banyak negara seperti Sweden, Denmark, Switzerland dan Singapura. Dasar pertahanan yang bersifat ‘capability driven’ digarap untuk melindungi rakyat, mempertahankan negara dan mengelakkan peperangan. HANRUH tidak hanya berdepan dengan ancaman konvensional, tapi boleh jadi ancaman bukan konvensional termasuk krisis bencana alam.


Konsep HANRUH meliputi lima komponen utama iaitu kesiagaan pertahanan, kesiagaan rakyat, perpaduan masyarakat, kelestarian ekonomi dan ketahanan psikologi. Dalam komponen kelestarian ekonomi dibahaskan beberapa perkara penting iaitu kemakmuran ekonomi, penyimpanan stok barangan, pembekalan makanan dan kelancaran infrastruktur serta sumber asas. Lanjutan artikel ini memfokuskan kepada sekuriti atau jaminan makanan khususnya beras dalam negara.

Secara umumnya, sekuriti makanan merujuk kepada sesuatu keadaan apabila seluruh rakyat mempunyai kemampuan dari aspek fizikal, ekonomi dan sosial untuk mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat. Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-bangsa Bersatu (FAO), mangsa kebuluran dan kekurangan zat di dunia telah meningkat daripada 777 juta orang (2015) kepada 815 juta orang (2016).

Atas keprihatinan itu, sejak sebelum merdeka, Malaysia telah menggubal Dasar Padi dan Beras Negara, kemudian diteruskan dengan Dasar Pertanian Negara, Dasar Jaminan Bekalan Negara dan yang terbaru Dasar Agromakanan Negara. Ia bertujuan bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia boleh menikmati makanan tanpa krisis. Ia sangat penting dan kritikal. Tidak hairan baru-baru ini, bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin pun mula bercakap semula hal ini.

Sekuriti Makanan untuk 32 juta rakyat Malaysia diukur berdasarkan Tahap Sara Diri atau ‘Self Sufficient Ratio’. Berdasarkan statistik dari Bank Negara Malaysia baru-baru ini, daripada 33 produk pertanian yang biasa digunakan, 16 produk mempunyai Tahap Sara Diri yang melebihi 100 peratus. Hal ini bermakna 16 produk makanan tersebut cukup untuk memenuhi keperluan domestik. Bagaimana pula dengan 17 produk makanan yang lain?

Carta di atas menunjukkan sebahagian makanan telah melebihi Tahap Sara Diri atau Sara Diri Penuh 100 peratus seperti telur, timun dan terung. Walau bagaimanapun makanan ruji seperti beras hanya 70 peratus, manakala kelapa (78 peratus), daging lembu (25 peratus) dan daging kambing (11 peratus). Ketidakcukupan akan bergantung kepada sumber import. Lima tahun kebelakangan ini, defisit perdagangan makanan dan minuman meningkat daripada RM16.9 bilion pada tahun 2013 kepada RM18.8 bilion pada tahun 2018.


Umumnya, ada dua mazhab untuk memastikan aksesibiliti dan ketersediaan makanan terjamin. Pertama, pengeluaran dalam negeri, mengurangkan import dan mengelak gangguan pasaran global. Kedua, mengukuh produktiviti eksport dan menggunakan semula hasil pendapatan untuk membeli makanan daripada pasaran global. Di Malaysia, bil import mencecah RM54 bilion, manakala eksport pula RM 35 bilion pada tahun 2018.


Kerajaan Persekutuan telah menggarap Dasar Agromakanan Negara sejak 2011 hingga 2020. Selepas perubahan kuasa pada 9 Mei 2018, beberapa perubahan telah dilakukan. Dua tahun sebelum tamat Dasar Agromakanan Negara (DAN), Kerajaan Persekutuan mengubah suai beberapa perkara dan meletakkan prioriti baharu sebelum mengemukakan DAN 2.0 untuk tempoh 2021-2030. Salah satu daripada tiga objektif DAN adalah untuk menjamin bekalan makanan mencukupi dan selamat dimakan.


Sekiranya kita hanya fokus kepada padi dan beras, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan Tahap Sara Diri Beras ialah 80 peratus pada tahun 2020. Pengeluaran padi pada tahun 2020 dijangka 2.9 juta tan metrik, manakala penggunaan beras pada tahun yang sama dijangka 2.69 juta tan metrik. Hal ini bermakna, negara akan mengimport kira-kira 500,000 hingga 600,000 tan metrik setahun untuk memastikan bekalan beras mencukup bagi seluruh rakyat.

Pergantungan kepada import beras pada masa ini agak membimbangkan. Lebih kurang 7 peratus daripada jumlah keseluruhan beras dunia sahaja yang didagangkan. Jumlah yang kecil untuk memenuhi permintaan yang meningkat selain daripada faktor kelemahan Ringgit Malaysia akan menyebabkan harga akan meningkat. Keadaan tersebut akan lebih memburukkan keadaan. Justeru, penghasilan padi dan pengeluaran beras tempatan harus ditingkatkan dengan lebih cekap.

Kesimpulannya, tahap kesiagaan Malaysia menerusi konsep HANRUH harus dihayati oleh segenap rakyat. Ia bukan hanya tertumpu kepada kewaspadaan untuk perang, sebaliknya ia harus berjaga-jaga sekiranya negara berhadapan dengan krisis bencana yang berpanjangan seperti kemarau dan banjir. Firman Allah S.W.T dalam Surah Yusuf ayat 47-49 telah mengajar kita untuk berhemah dalam mengurus sumber dan jaminan bekalan negara. Beringatlah!


AHMAD FADHLI SHAARI,
Ahli Parlimen Pasir Mas
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) – HARAKAHDAILY 2/12/2019

- Advertisement -