Tingkatkan persiapan pengurusan bencana

- Advertisement -

PUSAT Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) menasihatkan kepada jentera di seluruh negara supaya bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. 

Laporan terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan amaran hujan sangat lebat dengan amaran cuaca bahaya ‘peringkat merah’ dijangka berlaku berterusan sehingga esok (Isnin) di beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu.

Hujan sangat lebat dijangka melanda Kelantan di daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh manakala dua daerah iaitu Besut dan Setiu di Terengganu.

Hujan lebat juga dijangka berterusan sehingga Isnin dengan amaran cuaca buruk peringkat jingga di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Laporan terkini yang telah dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pula menyatakan bahawa hujan lebat berterusan dijangka di Kelantan di daerah Jeli dan Kuala Krai; Terengganu di daerah Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman serta daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang. Hujan lebat dijangka berlaku sehingga esok dengan amaran cuaca waspada peringkat kuning dikeluarkan untuk beberapa kawasan di Kelantan, Pahang dan Johor.

Oleh itu, setiap Bilik Gerakan Bencana mestilah dipastikan telah dilengkapi dengan peralatan dan aset pengoperasian dengan sebaiknya. Khidmat Malaysia Negeri Kelantan dan Terengganu telahpun mula turun membantu di lokasi-lokasi yang terlibat dengan bencana banjir ketika ini.

Khidmat Malaysia melalui Bilik Gerakan Info Bencana (#InfoBencana) akan sentiasa memantau perkembangan dari semasa ke semasa bagi membantu menyampaikan maklumat dan bantuan di lapangan.

Sumbangan kepada mangsa banjir boleh disalurkan ke akaun Maybank Khidmat Malaysia (No. Akaun 564294310529).

Sekian, wassalam

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Ketua Pengarah
Khidmat Malaysia Pusat
1 Disember 2019, 5.10 petang – HARAKAHDAILY 1/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -