Sabar, istiqamah mesti jadi kunci utama Setiausaha

    - Advertisement -

    KUALA KEDAH: Organisasi yang efektif seharusnya ditadbir dengan empat tonggak asas iaitu perancangan tersusun, pelaksanaan sistematik, pemantauan sistem penyampaian dan semakan atau penambahbaikan.

    - Advertisement -

    “Pesanan penting buat para Setiausaha agar laksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya kerana penjawatnya adalah nadi kepada jemaah PAS dan elakkan menjadi penyebab mengendalakan gerakan organisasi.

    “Sabar dan istiqamahlah dalam melaksanakan tugas kesetiausahaan khususnya bersandarkan firman Allah S.W.T dalam surah Ali-Imran, ayat 200,” ujar Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan.

    Beliau berkata demikian ketika membentang kertas kerja pertama bagi Konvensyen Setiausaha PAS Peringkat Kebangsaan Kali Keempat yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Batu 9 di sini semalam.

    Katanya, Tuan Guru Presiden PAS adalah contoh teladan terbaik pimpinan yang sentiasa menjadi pengerusi mesyuarat dengan sikap menepati masa serta mengendalikan mesyuarat penuh berkualiti dan efektif.

    Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil menyifatkan kepentingan Setiausaha itu dianologikan seperti enjin yang mana tanpa enjin, jentera tidak akan berfungsi.

    “Asasnya Setiausaha berperanan untuk memelihara kesempurnaan pentadbiran pejabat, dokumentasi dan kesempurnaan mesyuarat-mesyuarat,” ujar Khairul Faizi lagi.

    Menurutnya, PAS komited memastikan organisasi berperanan dengan lebih efisyen menggunapakai rujukan Buku Perlembagaan PAS, Manual Pengurusan dan Pentadbiran, Aturan dan Peraturan PAS serta Surat Arahan Parti dari semasa ke semasa.

    Para peserta melebihi 500 orang yang hadir daripada seluruh negara berakhir hari ini bagi memantapkan pengurusan organisasi di semua peringkat khususnya di Kawasan-kawasan. – HARAKAHDAILY 30/11/2019

    - Advertisement -