Isytihar perang: Israel vs Iran

- Advertisement -

KECAMAN Israel

(1)     Hari ini kita dapati Amerika Israel menunding jari kepada Iran dalam banyak isu-isu keganasan. Asal ada pengeboman sahaja, terus mereka claim ini kerja Iran.

Tak pastilah tuduhan ini berasas atau semberono. Pada 25 November 2019, Media The Middle East Monitor menyiarkan petikan ucapan Netanyahu Israel yang mengecam Iran.

(2)     Netanyahu menuduh Iran merancang tindakan agresif terhadap Israel dengan menggunakan Iraq dan Yaman sebagai pangkalan untuk melancarkan serangan roket dan peluru berpandu.

Netanyahu memberi ulasannya itu kepada wartawan semasa lawatan ke kawasan Golan Heights di Hutan Syria disertai oleh Menteri Pertahanan Naftali Bennett.

(3)     Media melaporkan bahawa beliau kononnya bersumpah untuk mengambil tindakan untuk menghalang usaha ini. Seolah-olah memberi gambaran jahat terhadap Iran.

a-     Katanya, “Ini adalah pencerobohan Iran di rantau kita, dan serangan terhadap kita”. Jelas mereka terus menerus menunding jari kepada Iran

b-     Katanya lagi “Kami mengambil semua tindakan yang perlu untuk menghalang Iran daripada menguasai di rantau ini. Ini termasuk aktiviti yang diperlukan untuk menggagalkan pemindahan senjata yang membunuh dari Iran ke Syria, sama ada melalui udara atau darat. ”

c-     Beliau menegaskan bahawa Israel juga akan bertindak untuk menggagalkan usaha Iran untuk menjadikan Iraq dan Yaman sebagai pangkalan untuk melancarkan roket dan peluru berpandu terhadap negara haram Zionis.

d-     “Komitmen dan kesediaan kami untuk melawan pencerobohan Iran adalah mutlak dan kami bertindak dengan segala cara untuk menghalang Iran daripada mencapai matlamatnya. Saya tidak boleh menceritakan lebih terperinci, tetapi yang pastinya ini adalah proses yang berterusan”, Katanya lagi

Fokuskan Iran

(1)     Berita yang disiarkan oleh The Middle East Monitor (TMEM) dan beberapa media lain seperti Haaretz menggambarkan betapa Israel merasa terancam dengan kemunculan Iran.

Walaupun kita tahu bahawa tuduhan Netanyahu itu belum tentu benar, tapi kita boleh agak bahawa mereka sedang memfokuskan tumpuan kepada Iran.

(2)     TMEM melaporkan lagi bahawa Naftali Bennett yang baru dilantik berkata, “Unit keganasan Iran tidak mempunyai apa-apa untuk dicari di Syria.”

Atau dengan kata lain, mereka dakwa Iran tidak ada sebarang rasional untuk ganggu mereka. Ya, tatkala era normalisasi di negara Arab sedang berkembang, kecaman Israel ini boleh jadi disokong oleh Arab.

a-     Israel mengatakan andai Iran cuba ‘mencari pasal’ mereka di sana, Israel akan “mencari IDF yang kuat seperti Angkatan Pertahanan Israel yang akan menyakitkan mereka.”

b-     Rabu 20 November 2019, Israel mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan serangan ‘sangat sengit’ terhadap tentera Iran dan mensasarkan tentera Syria di Syria.

(3)     Apa yang jelas Israel sudah isytihar perang terhadap Iran. Tidak pelik mereka boleh isytihar sedemikian kerana mungkin mereka melihat Umat Islam seluruh dunia sudah termakan dengan saraf mereka.

Iaitu saraf tentang sentimen mazhab. Boleh jadi ada Umat Islam mengatakan, padan muka Iran. Tetapi yang peliknya ada yang menganggap Israel vs Iran adalah drama.

Psywar atau Real War?

(1)     Bertambah pelik apabila Perdana Menteri Israel (Netanyahu) mendakwa semasa mesyuarat Kabinetnya pada 24 November bahawa Iran merancang ‘serangan tambahan’.

Serangan tambahan yang dimaksudkan ialah bukan sahaja menentang negara-negara jiran, tetapi juga membunuh rakyatnya sendiri. Tuduhan yang sengal.

(2)     Ulasan beliau ini sebagai respon kepada kenyataan komander tentera Amerika di Timur Tengah, Jeneral Kenneth McKenzie, yang mendakwa ‘kemungkinan besar Iran akan menyerang lagi.’

Kenyataan beliau Ini merujuk  kepada serangan 14 September 2019 terhadap loji minyak Saudi Aramco dan kapal tangki minyak di Teluk.

(3)     Kes-kes serangan ini menjadi modal bagi Washington (Amerika) untuk menyalahkan Tehran (Iran). Walau bagaimanapun, Iran telah menafikan terlibat dalam semua kes ini.

Walau bagaimanapun tuduhan Israel terhadap Iran ini belum tentu betul. Media dikuasai oleh mereka, justeru sudah pasti ia akan dimanfaatkan untuk saraf.

(4)     Bukan setakat itu, psywar ini dilancarkan bagi mewujudkan fenomena keganasan Iran. Kalau ikut kebiasaannya, hari ini Amerika Israel seolah-olah sedang mencipta lesen.

Iaitu lesen untuk menyerang Iran, dalam keadaan mereka menang psywar. Agar dunia menghukumkan Amerika Israel itu membawa keamanan, manakala Iran itu adalah keganasan.

Psywar terhadap Iran

(1)     Pada 29 Oktober 2019, Media Haaretz melaporkan kenyataan Netanyahu, “Iran sudah bercita-cita untuk mendapatkan senjata serangan tepat untuk menyerang setiap sasaran di Timur Tengah”

“Mereka memproduksi persenjataan di Iran dan ingin menggunakannya di Iraq dan  Syria. Bahkan berusaha menyiapkan sebanyak 130,000 roket di Lubnan”

(2)     Bukan setakat itu, Iran juga dituduh berpangkalan di Yaman dan sedang bersedia menyerang Israel. Lalu Israel mengumumkan bahawa mereka ‘terpaksa’ menentang keganasan Iran.

(3)     Diberitakan bahawa Steven Mnuchin sedang menuju ke delegasi ke Timur Tengah dan India untuk membincangkan hubungan ekonomi dan inisiatif pencegahan pengganas.

Delegasi itu turut disertai oleh penasihat kanan Donald Trump dan menantunya Jared Kushner. Mereka bertemu dengan Netanyahu dan pesaing utamanya, iaitu pemimpin parti Kahol Lavan Benny Gantz.

(4)     Steven Mnuchin berkata bahawa sekatan Amerika bertujuan untuk memaksa Iran untuk menghentikan ‘kerja kotor mereka dan usaha mengeksport keganasan, serta usaha mewujudkan keupayaan nuklear dan peluru berpandu.’

“Kami melihat Iran sebagai ancaman terbesar bagi keamanan, kestabilan, keselamatan dan keselamatan orang lain,” kata Netanyahu seolah-olah mereka itu membawa keamanan.

“Mereka telah menyerang Arab Saudi, mereka menghalang lorong perkapalan antarabangsa, mereka menyerang dan membunuh rakyat Amerika sejak dekad yang lalu di Afghanistan dan di tempat lain.” Katanya lagi.

(5)     Bahkan Netanyahu juga memuji sekatan ekonomi yang Amerika lakukan terhadap Tehran. Inilah naratif-naratif Israel yang ditimbulkan mencipta persepsi terhadap Iran.

Normalisasi Arab

(1)     Sejak serangan terhadap loji minyak Arab Saudi pada September baru-baru ini, Iran terus diserang saraf bertubi-tubi. Hampir kesemua media menunding jari terhadap Iran.

Dalam serangan tersebut, Houti mengaku bertanggungjawab. Namun Arab Saudi tak yakin dengan pengakuan tersebut kerana mereka beranggapan Houti tiada senjata secanggih itu.

Lalu, Arab Saudi menuduh Iran berdasarkan bukti-bukti siasatan mereka. Perkara ini telah saya ulas sebelum ini. Namun, ada beberapa penganalisis yang beranggapan ia adalah angkara Israel sendiri.

(2)     Segala-galanya ada kemungkinan. Kalau dikatakan ia serangan Israel bermakna Israel semakin dekat dengan projek Israel Raya. Sekiranya memang Iran yang serang, ia bermakna Iran sedang menghantar isyarat.

Iaitu isyarat supaya Amerika tidak terlalu selesa merampas tanah Umat Islam, khususnya Palestin. Amerika pula masih meneruskan psywarnya di peringkat global

Sehingga ada yang memandang negatif terhadap Iran, dan menyucikan Amerika Israel kerana memerangi negara Syiah. Umat Islam terkeliru dengan psywar ini.

(3)     Tatkala Palestin dirembat oleh Israel untuk membina Pax Judaica, di saat itulah negara-negara Arab menjadi ‘normal’ terhadap Israel. Seperti tiada apa-apa terhadap jenayah itu.

Palestin tersepit, perjuangan mereka tidak lagi disokong oleh negara-negara Arab. Yang dilihat masih bertegas dan konsisten dengan isu ini ialah Iran.

(4)     Justeru Amerika mengambil langkah memfokuskan serangan sarafnya terhadap Iran. Sekalipun baru baru ini Iran mengadakan dialog antarabangsa tentang Palestin, masih lagi ada yang memainkan isu Syiah.

Konflik di Yaman

(1)     Selain daripada serangan terhadap loji minyak Arab Saudi, psywar Amerika dilihat mula agresif setelah mana konflik Yaman dilihat memberi keuntungan buat Iran.

Asalnya konflik tersebut ditaja oleh Arab Saudi dan sewaktu dengannya, namun keputusan di akhirnya menyaksikan Houti menyebelahi Iran.

Ia membuka peluang kepada Iran untuk meluaskan kawasan pengaruhnya di tempat yang strategik itu. Amerika selama ini mengintai Yaman, akhirnya hampir tak berhasil.

(2)     Sepertimana yang saya ada nyatakan sebelum ini bahawa laluan Tanduk Afrika sedang menjadi sasaran Amerika. Laluan kapal itu bermula dengan Teluk Aden di Yaman.

Sebab itulah laluan ini sengaja dikonflikkan tidak berkesudahan. Namun, trend geopolitik hari ini menyaksikan Selatan Yaman itu dimenangi oleh Iran.

Hal ini membuatkan kedudukan Israel sedikit terancam. Amerika mula mendedahkan kekuatan persenjataan Iran yang memungkinkan Israel diserang dengan roket.

(3)     Plot penceritaan ini masih tergantung, sama ada Amerika sengaja hendak menimbulkan naratif untuk menjuarai psywar, ataupun memang Iran sudah mula mencabar Amerika.

Manakala Umat Islam pula sibuk bermain sentimen Sunni-Syi’i tak berkesudahan. Secara tidak langsung, ‘kesibukan’ Umat Islam ini telah memberi peluang buat Amerika. – HARAKAHDAILY 29/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -