Hari Antarabangsa Solidariti bersama warga Palestin

- Advertisement -

PALESTIN, tanah suci yang dahulunya pernah dimuliakan sebagai kiblat pertama umat Islam kini menjadi tempat pelupusan orang Islam akibat tangan-tangan celaka puak Zionis Yahudi Israel serta konco-konconya. Sehingga ke hari ini, rakyatnya terus dihapuskan dan negara Palestin cuba dilenyapkan dari peta dunia.

Menurut laporan media baru-baru ini, lebih 100 roket Zionis telah dilepaskan dari udara sehingga menyebabkan seramai 111 orang penduduk telah cedera termasuk 44 golongan kanak-kanak dan 20 golongan wanita. Angka korban pula terus meningkat saban hari dan ramai yang telah gugur syahid dalam kejadian tersebut.

Bukan itu sahaja, malah 15 buah sekolah telah rosak sehingga terpaksa ditutup dan 190 buah rumah penduduk Palestin telah ranap. Penduduk yang telah kehilangan tempat tinggal mencecah 820 orang dan 4 buah pencawang elektrik telah musnah, mengakibatkan rakyat Palestin kehilangan sumber elektrik.

Merujuk laporan terkini juga, seorang wartawan warganegara Palestin, Muath Amarneh kehilangan mata kiri beliau akibat peluru getah yang dilepaskan askar Israel. Hal ini telah menarik perhatian dunia lalu mencetuskan solidariti global #MuathEye dalam kalangan warga maya.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengutuk sekeras-kerasnya rejim Zionis yang telah berpuluhan tahun menzalimi umat Islam Palestin. Sudah jelas bahawa dasar dan penindasan oleh Israel telah melanggar beberapa Resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Undang-undang Antarabangsa, serta Undang-undang Kemanusiaan.

GAMIS mengecam negara-negara yang menjadi tali barut sekutu Israel seperti Amerika Syarikat dan India. Kebiadaban Donald Trump tidak boleh disangkal lagi apabila beliau sebelum ini telah mengumumkan Kota Jerusalem sebagai ibu negara bagi negara haram Israel. Narendra Modi pula ternyata bermesra dengan Benjamin Netanyahu dan membunuh umat Islam di Kashmir.

GAMIS turut memuji keberanian dan kelantangan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tegas dan konsisten di mana-mana pentas antarabangsa dalam membela Palestin. GAMIS juga menyokong usaha menubuhkan Kedutaan Malaysia untuk Palestin di Jordan sepertimana diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada Oktober yang lalu.

Bersempena Hari Antarabangsa Solidariti Bersama Warga Palestin, GAMIS menyahut seruan Sidang Hal Ehwal Antarabangsa Palestin bagi menzahirkan solidariti dalam mempertahankan Palestin. GAMIS menyeru semua warganegara Malaysia terutamanya para Muslimin agar menunjukkan kebersamaan secara berterusan serta tidak bermusim terhadap Palestin, Kashmir, Uighur, dan negara-negara umat Islam yang lain:

- Advertisement -



إِن يَنصُرْكُمُ اللَّهُ فَلاَ غَالِبَ لَكُمْ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

“Jika Allah menolong kalian mencapai kemenangan, maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kalian; dan jika Dia mengalahkan kalian, maka siapakah yang akan dapat menolong kalian sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.”
(Āli ‘Imrān, 3: 160)



“Mara Bersama Islam”

SYED AHMAD ABDUS SALAM SYED NAZMI
Naib Presiden 3
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) – HARAKAHDAILY 29/11/2019

- Advertisement -