Siasat kelewatan terima 6 kapal LCS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menuntut kerajaan mengadakan siasatan dalaman berhubung kelewatan penerimaan enam kapal Littoral Combat Ship (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Katanya, ini kerana pembelian enam aset TLDM itu melibatkan wang pembayar cukai sejumlah RM9 bilion yang sepatutnya diterima pada April 2019, tetapi tidak diterima sehingga ke hari ini.

Menurutnya, kelewatan menyiapkan enam kapal LCS bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan sama sekali.

Lebih-lebih lagi ujarnya, syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang mendapat tender pembelian kapal LCS pernah mempunyai rekod tidak baik pada tahun 1998.

Ketika itu jelas beliau, kerajaan menganugerahkan kontrak membekalkan enam kapal kelas Kedah yang diilhamkan daripada kapal kelas Meko 100, namun gagal disiapkan mengikut jadual.

“Pada tahun 1998, isu syarikat ini telah dibawa sehingga ke Parlimen dan disiasat oleh Jawatankuasa Perakaunan Umum (Public Account Committee) dan Pengerusi pada masa itu, Tan Sri Shahrir Samad dipetik menyatakan bahawa tindakan perlu diambil kerana terdapat elemen penipuan.

“Namun, tiada tindakan lanjut selepas itu serta pengerusi syarikat tersebut, mengisytiharkan dirinya muflis,” ucapnya semasa perbahasan Dewan Rakyat peringkat Jawatankuasa Kementerian Pertahanan, hari ini.

Justeru itu, Ahmad Fadhli menuntut supaya satu kertas putih diwujudkan atau paling tidak public inquiry (pendengaran awam) agar siasatan segera dilakukan.

Katanya, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sebelum ini pernah menyatakan bahawa kementeriannya tiada pilihan, melainkan meneruskan dengan perancangan menyiapkan LCS.

“Saya suka untuk menarik perhatian adakah kita bersedia untuk mengorbankan lebih banyak wang rakyat untuk menyiapkan projek yang menurut Menteri sendiri pada 30 Oktober 2019.

“Kegagalan BNS ialah kerana tiadanya ‘detailed design‘ dan kelewatan merumuskan (finalising) perolehan sebahagian besar peralatan yang diperlukan.

“Saya terkejut, kita terkejut dan seluruh negara terkejut. Bagaimana projek untuk menyiapkan kapal secanggih ini tiada ‘detailed design‘? “ katanya.

Untuk rekod, projek Littoral Combat Ship (LCS) ialah projek menyiapkan sembilan kapal milik TLDM bernilai RM9.128 bilion dan telah dianugerahkan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) oleh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pertahanan.

Sejumlah RM6 bilion telah dibayar tetapi sehingga kini tiada sebuah LCS pun diserahkan kepada TLDM walaupun mengikut kontrak yang ditandatangani pada Januari 2014, LCS 1 sepatutnya diserahkan pada April 2019. – HARAKAHDAILY 27/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -