Peranan Pemuda jadikan PAS nombor satu memimpin

- Advertisement -

PADANG RENGAS: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin menyeru para Pemuda PAS supaya meningkatkan gerak kerja selepas penganjuran Ijtimak Tarbawi 7.0 yang lalu.

- Advertisement -

“Kita mengangkat ucapan dasar Presiden PAS ‘Islam Memimpin Perpaduan’ supaya program-program di semua peringkat selepas ini mestilah bersifat 30 peratus eksklusif dan 70 peratus inklusif,” ucap beliau pada majlis jamuan bagi meraikan para petugas Ijtimak Tarbawi 7.0 di Pondok Al-Mansur, di sini kelmarin.

Oleh itu, beliau menyeru kepada semua Pemuda agar memperlihatkan kepada rakyat bahawa PAS sebagai parti nombor satu yang memimpin Umno dan Muafakat Nasional supaya Umno boleh memperbetulkan kesilapan-kesilapan mereka masa lalu.

“Sebab itu, Ijtimak Tarbawi ini adalah salah satu program yang kita ‘showcase’ atau tunjukkan kepada rakyat bahawasanya walaupun Umno ini dikatakan sebagai ‘baggage’ atau biawak hidup di dalam Muafakat Nasional, bila adanya PAS insya-Allah kita akan sama-sama memperbaiki di antara satu sama lain.

“Kalau kita menjadi johan kepada pentarbiyahan Muafakat Nasional ini, saya yakin dan percaya pada PRU15, kalau ditakdirkan Allah beri kemenangan kepada kita di bawah payung Muafakat Nasional ini, Umno dan BN tidak akan mengulangi kesilapan yang telah mereka lakukan sebelum ini insya-Allah,” ujarnya lagi.

Di samping menekankan peri penting PAS belajar daripada pengalaman Umno memimpin negara, beliau turut menyebut bahawa formula Muafakat Nasional adalah lebih baik daripada PH yang saban hari mencacamerbakan sistem politik negara.

Turut hadir dalam majlis meraikan para petugas Ijtimak Tarbawi 7.0 itu ialah Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Pengarah Akademi Tarbiyah Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hanif Haron.

Juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria, Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait dan beberapa pimpinan pemuda yang lain.

Khairil Nizam dalam ucapannya turut melahirkan rasa gembira atas kejayaan penganjuran Ijtimak Tarbawi 7.0 walaupun ia menghadapi pelbagai rintangan pada permulaannya.

Namun menurut beliau, apabila semua pihak tenang menerima dan melaksanakan arahan, ia menarik pertolongan daripada Allah dan menjadikan Ijtimak Tarbawi pada kali ini sebagai suatu program tahunan yang luar biasa.

“Dalam kita melaksanakan program berskala besar ini, saya bangga apabila saya lihat kerjasama semua pihak daripada setinggi-tinggi Ketua Pemudanya sampailah ke serendah-rendah mahasiswa dan mahasiswinya. Semua bekerja dengan ‘wehdatul amal’, ‘wehdatul fikr’ dan ‘wehdatul ruh’.

Deep from my heart kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Perak dan seluruh jentera Ijtimak Tarbawi, ‘you are the best’. Insya-Allah anda semua berada di dalam memori saya yang terindah,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 27/11/2019

- Advertisement -