Orang Muda diingat miliki ilmu rumah tangga

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Sebuah institusi keluarga akan menjadi penentu baik dan buruknya masyarakat, seterusnya negara yang terbentuk, demikian menurut pendakwah, Ustaz Muhammad Fawwaz Mat Jan.

- Advertisement -

Beliau mengupas perihal kekeluargaan pada slot Forum Baitul Muslim Haraki pada Sambutan Ulang Tahun PAS Kali Ke-68 di Markas PAS Gunung Semanggol, di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, ibu bapa yang bertakwa akan memastikan anak memahami ajaran Islam bermakna pembentukan keluarga akan didasari oleh ilmu dan iman dalam mencapai tujuannya.

“Segala perkara yang dilakukan terkait dengan isu ilmu. Sebelum buat sesuatu, kena ada ilmu. Orang hari ini kahwin, tak mahu belajar. Dia ‘kayuh’ rumah tangga ikut cara dia sendiri,” tegur beliau sikap orang-orang muda sekarang yang tidak mahu dinasihati.

Akhirnya kata beliau, mereka mengulangi kesilapan orang-orang lama antaranya kaum lelaki tidak mahu bertanya kepada yang lebih tua dalam mengemudi rumah tangga dan mengurus sikap isteri, manakala kaum wanita pula tidak mahu belajar cara-cara mengurus dan mengajar anak.

Tambah beliau lagi, suasana rumah tangga adakalanya dilanda ribut taufan, dibadai ombak dan puting beliung, justeru pasangan suami isteri perlu bersedia dengan ilmu bagi menghadapi situasi berikut.

“Suami dan isteri perlu belajar karakter pasangan masing-masing. Pasangan kita tidak sama dengan kita. Contohnya, perempuan adalah satu jenis makhluk yang sangat suka dipuji. Kaum ayah pujilah walaupun terpaksa,” demikian kata ustaz disambut tawa oleh para hadirin.

Antara yang dikongsi oleh Ustaz Fawwaz lagi berkenaan wanita juga adalah sifat pendendam contohnya akan ingat kata-kata hinaan dari suami yang melukakan hatinya di samping suka pada perkara berulang.

Maka nasihatnya, seorang suami tidak seharusnya marah jika isteri suka pulang ke rumah ibunya kerana memang sifat mereka suka melakukan perkara yang menjadi kebiasaan.

Manakala, antara sifat kaum lelaki pula sangat pantang arahan mereka dilanggari, sekali gus, isteri jangan membantah pada segala perkara yang diminta oleh suami selagi ia tidak bertentangan syarak.

Forum ini turut melibatkan Ketua Pemuda PAS Kawasan Bagan Serai, Ustaz Akmal Abdullah Sani sebagai moderator dan Ustaz Haslin Baharin sebagai ahli panel. – HARAKAHDAILY 27/11/2019

- Advertisement -