Muslimat jiwai cabaran dakwah Rasulullah

- Advertisement -

KUALA KANGSAR: Lajnah Dakwah Muslimat PAS Kawasan Kuala Kangsar dengan kerjasama Muslimat PAS Cawangan Talang telah mengadakan satu program Street Dakwah sempena Maulidur Rasul di Bandar DiRaja ini, di sini semalam.

- Advertisement -

Antara objektif utama program ini diadakan adalah untuk menyebarkan keindahan Islam melalui penceritaan mengenai kisah Rasulullah S.A.W kepada masyarakat, termasuk juga kepada golongan bukan-Islam.

Dalam ucapan perasmian program tersebut, Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Kuala Kangsar, Ustazah Nabishah Muthaliff menyentuh mengenai kesusahan dan kepayahan Baginda Rasulullah  dalam menyebarkan dakwah.

“Ini adalah tugas kita semua. Hari ini kita pula perlu merasa tugas berat Rasulullah S.A.W dalam berdakwah,” ujarnya kepada para petugas aktiviti lapangan ini.

Selain itu beliau juga mengingatkan mengenai tanggung jawab menyebarkan dakwah adalah salah satu dari tiga dasar utama PAS selain daripada tarbiyah dan siyasah.

Ketika program tersebut berlangsung, Muslimat PAS telah mendekati beberapa bukan-Muslim yang menerima baik kunjungan dan dakwah yang disampaikan, di mana rata-rata di antara mereka amat menghormati Islam.

Turut hadir Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Kuala Kangsar, Ustaz Azhar Din dan wakil dari Ameerah Kuala Kangsar yang mengambil peluang untuk mendekati orang ramai, terutamanya golongan wanita muda. – HARAKAHDAILY 27/11/2019

- Advertisement -