Komunis tiada tempat di Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa untuk mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan yang membawa pulang abu mayat Chin Peng ke Malaysia.

- Advertisement -

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyifatkan tindakan itu memberi penghormatan kepada bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang secara terang-terangan mengakibatkan lebih 10,0000 rakyat dizalimi dan dibunuh.

“Malangnya, penghormatan tersebut dipilih pada 16 September, Hari Malaysia yang disambut oleh seluruh rakyat Malaysia bagi memperingati penubuhan negara kita,” kata Ketua Pemuda IKATAN Malaysia, Shahir Adnan.

Menurut Shahir, ketika Kerajaan BN dahulu telah bertegas menolak tuntutan kumpulan yang mahu abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia yang mana turut disokong oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Berikutan itu, pihaknya menggesa kerajaan menyiasat dalang yang memberikan lampu hijau kepada kumpulan tersebut untuk membawa balik abu mayat tersebut.

“Benar, abu mayat tersebut tidak akan mengganggu-gugat keselamatan awam. Namun, penghormatan yang diberikan seolah-olah memberikan penghormatan kepada tindak-tanduk PKM pada masa lampau.

“Adakah penghormatan wajar diberikan kepada mereka yang menyerang hendap konvoi angkatan tentera, meletupkan monumen kebangsaan, pembunuhan terancang anggota polis dan rakyat jelata? Jawapannya sudah tentu tidak” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mempersoalkan pendedahan berita itu setelah disembunyikan sejak 16 September lalu yang seolah-olah kumpulan ini tidak menjaga sensitiviti isu kekejaman komunis kepada rakyat Malaysia.

Lantaran itu, kerajaan perlu bertindak tegas kepada isu tersebut yang dilihat makin tidak terkawal hingga mengguris hati dan perasaan rakyat.

Terdahulu, selepas enam tahun kematian mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, pada 16 September lalu abu mayatnya telah dibawa pulang ke Perak. – HARAKAHDAILY 27/11/2019

- Advertisement -