Kenapa Piala Dunia 2022 penting bagi Malaysia?

- Advertisement -

PADA 19 November lepas Malaysia telah mengalahkan Indonesia 2-0 dalam perlawanan bola sepak pusingan kedua kelayakan Piala Dunia zon Asia. Malaysia berada di dalam kumpulan G bertarung untuk layak ke Piala Dunia 2022 yang akan berlangsung di Qatar.

- Advertisement -

Kita sekarang berada di tempat kedua di dalam kumpulan 5 pasukan dengan 9 mata setelah menang 3 kali dan kalah 2 kali. Tempat pertama adalah Vietnam dengan 11 mata.

Pasukan negara masih memiliki peluang untuk mara ke pusingan ketiga di mana pasukan-pasukan akan dibahagikan ke dalam 2 kumpulan dan johan serta naib johan kumpulan akan layak ke Qatar.

Pada persaingan kali ini Malaysia masih mempunyai harapan untuk mara ke pusingan ketiga. Baki perlawanan Malaysia adalah menentang Emiriah Arab Bersatu ( UAE ) di tempat lawan pada 26 Mac tahun hadapan, Vietnam pada 31 Mac di tempat sendiri dan Thailand pada 9 Jun di tempat lawan.

Prestasi kali ini adalah di antara yang terbaik bagi pasukan negara. Pada pusingan kelayakan Piala Dunia Russia 2018, Malaysia mempamerkan prestasi yang buruk dengan kekalahan demi kekalahan seperti 10-0 menentang UAE dan 6-0 menentang Palestin.

Malaysia hanya perlu menduduki tempat kedua dengan rekod yang baik jika hendak ke pusingan selanjutnya kerana 4 naib johan terbaik akan turut layak selain dari johan kumpulan. Ketika ini Malaysia berada di tempat keempat dari 8 naib johan kumpulan.

Pasukan negara mungkin hanya perlu mengalahkan Vietnam di Bukit Jalil, seri dengan UAE di Dubai dan seri dengan Thailand di Bangkok untuk mara.

Malaysia perlu cemerlang dalam saingan kali ini kerana beberapa sebab. Di antaranya kerana pasukan bolasepak negara telah begitu lama tidak memasuki pertandingan di peringkat dunia.

Kali terakhir adalah pada 1980 apabila Malaysia layak ke sukan Olimpik di Moscow walau bagaimanapun telah memboikot sukan itu kerana membantah pendudukan Soviet di Afghanistan.

Sebab kedua adalah untuk menyatukan rakyat Malaysia kerana sejak kerajaan Pakatan Harapan memenangi pada pilihan raya umum Mei tahun lepas hubungan di antara kaum di Malaysia kelihatan di tahap yang membimbangkan.

Hubungan di kalangan rakyat Malaysia dari aliran politik yang berbeza juga berada pada tahap yang kritikal. Ia tidak mengejutkan kerana terdapat pihak yang mengamalkan budaya politik fitnah dan melemparkan pelbagai tuduhan tanpa mengemukakan sebarang bukti.

Rakyat menjadi kucar kacir akibat dari keghairahan pemimpin politik untuk mendapatkan kuasa tanpa memikirkan kesan kepada negara.

Oleh yang demikian sukan boleh menyatukan kita apabila rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan. Mereka mempamerkan semangat patriotisme melupakan perbezaan politik menyokong pasukan negara.

Kita mahu melihat stadium kita dibanjiri oleh rakyat Malaysia dari pelbagai kaum apabila pasukan negara bermain. Mereka yang sebelum ini tidak mengenali di antara satu sama lain menjadi rapat bagaikan kawan lama.

Malah di tempat terbuka di mana perlawanan-perlawanan disiarkan kepada umum seperti warung-warung tembok pemisah di antara kita akan runtuh lalu mewujudkan semangat kekitaan. Oleh itu, Piala Dunia 2022 adalah amat penting bagi rakyat Malaysia.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 27/11/2019

- Advertisement -