Enam nasihat kepada lelaki

- Advertisement -

SETIAP tahun, 19 November adalah hari sambutan lelaki sedunia dan bulan November juga dinobatkan sebagai bulan kesihatan lelaki. Cuma tidak ramai orang tahu kerana hari wanita sedunia lagi masyhur untuk dirayakan. Wanita kan lebih diminati!

- Advertisement -

Sebagai doktor lelaki, tulisan ini adalah untuk memujuk diri dan menasihati diri sendiri serta mana-mana lelaki sempena hari lelaki sedunia ini.

Berikut adalah enam nasihat kepada lelaki sempena hari lelaki sedunia ini:

  1. Buatlah saringan kesihatan segera. Sebaik sahaja berumur lebih dari 35 tahun, saringan kesihatan perlu dibuat setiap tahun. Kebanyakan penyakit dapat dikesan lebih awal setelah membuat saringan kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi, penyakit bauh pinggang dan sakit jantung. Tidak menyesal jika anda buat sarangan awal dan mencegah penyakit terjadi dari awal. Kesihatan amat perlu diutamakan demi kelangsungan hidup beribadah.

  2. Henti terus mengambil bahan yang merosakkan akal seperti arak, ketum, ganja, pil khayal dan seumpamanya. Sudah banyak bukti kajian bahawa semua bahan yang mendatangkan khayal itu boleh merosakkan fizikal dan mental manusia. Maka berhentilah segera bermula dari tarikh ini. Bahan-bahan yang memabukkan seperti arak boleh menyebabkan banyak berlaku kemalangan jalanraya, mahupun kemalangan industri semasa bekerja. Kesan jangka panjang juga boleh dihinggapi terhadap golongan yang mengambil bahan terlarang itu seperti kanser, rosak hati, serangan jantung dan banyak lagi. Bukti depan mata kita boleh lihat sendiri seperti para penagih dadah yang ketagih dadah dan seumpamanya, keharmonian rumah tangga mereka tergugat, anak-anak tidak terbela akibat impak jangka panjang terhadap penagih. Kehidupan mereka kacau bilau.

  3. Berhenti merokok! Saya masukkan tulisan khusus di sini demi menyelamatkan para perokok lelaki dari penyakit akibat rokok. Wahai perokok, berhenti teruslah dari merosakkan tubuh badan sendiri. Sudah termaktub dalam banyak kitab sejarah kesihatan bahawa rokok adalah punca kepada penyakit kanser, sakit jantung, angin ahmar dan mati pucuk. Bahkan jumlah kematian akibat rokok sahaja setiap tahun lebih dari 7 bilion seluruh dunia. Kerajaan Malaysia terpaksa berhabis duit tidak kurang RM4 bilion setahun untuk merawat rakyatnya dimamah oleh penyakit-penyakit yang berkaitan dengan rokok. Sempena sambutan hari lelaki sedunia ini, adalah tarikh terbaik untuk anda terus berhenti dari merokok. Jangan guna vape. Sebab vape adalah bukan kaedah yang disyorkan oleh badan berautoriti bagi berhenti merokok setakat ini. Menggunakan vape begi berhenti merokok seolah-olah lari mulut harimau dan masuk mulut buaya. Kedua-duanya mempunyai darjah mudarat yang tersendiri.

  4. Pilih makanan yang elok, berkhasiat dan halal. Kempen suku suku separuh yang dianjurkan oleh kementerian kesihatan amat bagus diamalkan bagi menjaga jumlah kalori yang anda ambil setiap hari. Tambahan pula konsep suku suku separuh itu adalah manifestasi kepada pemakanan seimbang dari piramid makanan. Banyakkan sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin berbentuk kekacang. Sukat pengambilan gula hanya tidak lebih dari 6 sudu teh sehari, manakala garam dihadkan kurang dari 1 sudu teh. Kurangkan pengambilan lemak, kerana pemakanan berlemak menambahkan lagi peningkatan kolesterol yang sedia ada dalam badan.

  5. Aktifkan kehidupan anda dengan aktiviti yang menyihatkan badan. Bagi seorang yang dewasa, perlu lakukan aktiviti senaman paling minimum 3 kali seminggu. Setiap kali senaman lebih setengah jam. kehidupan aktif boleh mengurangkan risiko serangan sakit jantung, angin ahmar, kencing manis, stres dan pelbagai lagi.

  6. Kurangkan stres dalam kehidupan. Walaupun lelaki mempunyai skala stres lebih rendah berbanding wanita, tetapi agak payah untuk menguruskan stres yang dialami oleh mereka. Sifat ego yang ada pada lelaki menyebabkan mereka sukar meluahkan perasaan. Memendam rasa adalah salah satu bentuk penyiksaan mental yang akhirnya boleh menimbulkan banyak masalah fizikal yang lain.

Selamat hari lelaki dari suhazeli.com walaupun agak terlewat pada tahun ini.

Sumber : Fb Suhazeli Abdullah
27.11.2019
Tengkawang – HARAKAHDAILY 27/11/2019

- Advertisement -