Desakan DAP pajakan 999 tahun canggah Perlembagaan

    - Advertisement -

    BAGAN SERAI: Gesaan DAP supaya diberi pajakan kampung baharu sehingga 999 tahun adalah tuntutan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dilaksanakan.

    - Advertisement -

    Setiausaha PAS Negeri Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin membidas Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang melontarkan perkara tersebut di Konvensyen DAP Perak sebagaimana dilapor media.

    “Kita tak bersetuju dengan permintaan daripada pihak DAP itu kerana MB (Menteri Besar) dah jawab. Ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Tanah Negara pajakan bagi kampung baharu 60 tahun hingga 99 tahun sahaja. Jadi tidak disebut 999 tahun.

    “Setakat ini kita menyokong MB. Kita minta MB supaya tegas dengan pendirian dia dan kekal dengan pendirian dia dalam sidang DUN yang lalu. Yang mana (MB) tidak akur dengan pendirian DAP ni,” ujar beliau ketika ditemui di Markas PAS Gunung Semanggol sempena Sambutan Ulang Tahun PAS Kali Ke-68 baru-baru ini.

    Menurut beliau lagi, PAS tegas mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan ia tidak ada kaitan langsung dengan isu perkauman, bahkan tidak ada masalah untuk menyokong sekiranya perkara itu tidak bercanggah dengan perundangan negara.

    Beliau turut menempelak kenyataan Kor Ming kononnya PAS akan mempergunakan isu ini pada PRU15 sekiranya MB tidak melaksanakannya kerana ia akan dianggap sebagai Manifesto PH yang gagal ditunaikan.

    “Kita lihat ini hanyalah penerusan terhadap kerja-kerja yang jahat daripada DAP untuk melanggar Perlembagaan Persekutuan. Kita tak kira. Ini manifesto PH atau DAP kah. Ini bercanggah dengan Perlembagaan. PAS tegas mempertahankan Perlembagaan,” tegas beliau yang juga Adun Selama. – HARAKAHDAILY 27/11/2019

    - Advertisement -