Bani Israel dan krisis kepimpinan

- Advertisement -

SEKADAR menjulang tokoh

(1)     Hari ini kita menyaksikan bagaimana parahnya penyakit umat Islam sekiranya tidak dapat untuk mewarisi ilmu-ilmu golongan terdahulu.

Iaitu umat Islam lebih suka untuk menjulang tokoh-tokoh tertentu dan mengkaguminya,  akan tetapi tidak dapat untuk menyambung legasi perjuangan dan keilmuan tokoh tersebut.

Hal ini perlu diambil perhatian khususnya bagi mereka yang fokus dalam dunia perkaderan dan pelapis. Kebiasaannya apabila hilangnya seseorang tokoh itu, maka akan hilang juga idealogi, dan segala ilmunya.

(2)     Kebiasaan masyarakat hari ini apabila kehilangan seseorang maka akan timbullah perbincangan tentang harta pusaka si mati. Bahkan perkara ini memang dibincangkan dalam feqah.

Ya, harta pusaka ini tidak diwarisi oleh rakan-rakan seperjuangan melainkan anak dan keluarga si mati sahaja. Di dalam perjuangan, seseorang tokoh akan diwarisi ketokohannya dan ilmunya oleh anak-anak buah.

Proses ini dinamakan perkaderan atau pentarbiahan. Nabi S.A.W sepertimana di dalam hadisnya mewariskan kepada umatnya al-Quran dan Hadis.

(3)     Nabi S.A.W bersabda;

- Advertisement -



تَرَكْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا : كِتَابَ اللهِ وَ سُنَّةَ رَسُوْلِهِ

“Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya”



Selagi mana umat Islam berpegang dengan al-Quran dan Hadis, mereka mendapat jaminan keselamatan daripada Nabi S.A.W sendiri. Iaitu terselamat daripada kesesatan.

Manakala golongan yang tidak menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai rujukan, tidak ada sebarang jaminan untuk dirinya terselamat daripada kesesatan tersebut.

Budaya claim

(1)     Hari ini kita sering mengungkapkan kekaguman kita terhadap seseorang tokoh. Akan tetapi kita belum lagi mampu untuk mewarisi kecemerlangan idealogi tokoh tersebut.

(2)     Hari ini ramai dari kalangan ahli PAS khususnya yang boleh meniru rentak intonasi Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berceramah.

Akan tetapi siapakah yang mampu mencedok idealogi, hujah dan kehebatan pemikiran politik beliau? Adakah cukup sebagai ahli PAS hanya mendabik dada bahawa ‘kami ada Tok Guru’ sahaja?

Bimbang tiada orang yang mampu mewarisi ketokohan beliau. Kalau sekadar ‘claim’ ‘beliau guru saya’ atau ‘saya pernah mendapat tarbiah beliau’ semata-mata, apa faedahnya?

(3)     Lihat apa yang terjadi sejak pemergian TGNA. Berapa ramai yang mengaku mewarisi pemikiran beliau? Tak ketinggalan geng PAN juga mengambil bahagian dalam claim ini.

(4)     Dalam isu Iran, Syiah dan penguasaan Amerika Israel, kita kagum dengan pendekatan TGHH. Tapi memadaikah kita hanya berhujah ‘tengok hebatnya Tok Guru aku’.?

Sedangkan kita sendiri terlalu malas untuk ‘study’ dan mengkaji bagaimana beliau boleh cetuskan pemikiran sedemikian. Perlu rajin untuk dalami ‘pandangan jauh’ beliau.

Di dalam sejarah, krisis kepimpinan pernah terjadi pada zaman Bani Israel selepas pemergian Nabi Musa A.S. Ketika itu, mereka masih berkeras kepala untuk tidak mengikut arahan Baginda A.S.

Selepas zaman Nabi Musa A.S

(1)     Krisis kepimpinan pernah terjadi pada zaman Bani Israel secara khususnya sebelum zaman Nabi Syam’un A.S. Allah S.W.T menceritakan kisah ini di dalam al-Quran di dalam Surah Al Baqarah ayat 246.

Krisis ini bermula sejak daripada zaman Nabi Musa A.S lagi apabila Bani Israel mempertikaikan saranan dan arahan Baginda A.S untuk masuk ke bumi Palestin.

Bahkan arahan tersebut mendapat tentangan. Seolah-olah mereka lebih suka mengikut kepimpinan Samiri yang terseleweng daripada ajaran yang sebenar.

(2)     Mereka gagal memahami rahsia yang terkandung di sebalik arahan tersebut. Namun, setelah Nabi Musa A.S diangkat oleh Allah S.W.T, Bani Israel kekal dengan sikap keras kepala mereka.

Sehinggalah ditakdirkan oleh Allah S.W.T, Bani Israel tersesat di Banjaran Teh selama 40 tahun dalam keadaan tiada kepimpinan. Selepas tempoh itu, Allah S.W.T membangkitkan Yusha’ bin Nun sebagai Nabi.

Antara tujuannya ialah memimpin Bani Israel untuk keluar daripada tersesat di Banjaran Teh tersebut. Yusha’ bin Nun menyambung legasi Nabi Musa A.S dengan mewarisi sebuah peti.

(3)     Peti tersebut mengandungi kitab Taurat, Tongkat Nabi Musa A.S, serban Nabi Harun A.S dan lain-lain. Baginda A.S menyeru kaumnya untuk mengikuti arahan Allah S.W.T untuk memasuki Palestin.

Di sini kita boleh faham bagaimana Yusha’ bin Nun memahami rahsia hikmah di sebalik arahan Allah S.W.T yang diturunkan sejak zaman Nabi Musa A.S lagi.

Memasuki Palestin

(1)     Setelah itu, Bani Israel masih keras kepala untuk tidak mengikut arahan tersebut. Mereka hanya memikirkan risiko berperang dengan Bangsa Kan’an yang mendiami Palestin.

Yusha’ bin Nun dan beberapa orang sahaja yang mendengar arahan Allah S.W.T meneruskan perjalanan untuk masuk ke Palestin dan akhirnya dikurniakan kemenangan.

(2)     Bani Israel memerintah Palestin dalam tempoh yang tidak lama kerana mereka kembali kepada perangai lama, iaitu meninggalkan ajaran Islam. Lalu Allah S.W.T datangkan bangsa lain, menjajah mereka.

Penjajahan tersebut menyebabkan peti tinggalan Nabi Musa A.S tadi menghilang. Bermula saat itulah Bani Israel berhadapan dengan krisis kepimpinan sekali lagi.

(3)     Di saat itulah Bani Israel meminta kepada Nabi Syam’un A.S untuk melantik seorang kepimpinan yang boleh memimpin Bani Israel berperang mendapatkan semula  Palestin ketika itu.

a-     Namun setelah Allah S.W.T melantik Talut sebagai pimpinan, Bani Israel bangun membantah pelantikan tersebut dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal.

Antaranya alasannya ialah Talut tidak mempunyai kekayaan dan bukan keturunan Raja. Beliau cumalah rakyat marhaen dan sebahagian tafsir menyebut beliau adalah seorang petani.

b-     Kelebihan yang Allah berikan kepada Talut yang disebut di dalam Surah al Baqarah 247 dan 248 ialah menemui peti tinggalan Nabi Musa A.S, ilmu dan tubuh badan yang kuat.

Pelantikan Talut

(1)     Allah S.W.T berfirman di dalam ayat 247 dan 248 Surah al Baqarah;



وَقَالَ لَهُمۡ نَبِیُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكࣰاۚ قَالُوۤا۟ أَنَّىٰ یَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَیۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ یُؤۡتَ سَعَةࣰ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَیۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةࣰ فِی ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ یُؤۡتِی مُلۡكَهُۥ مَن یَشَاۤءُۚ وَٱللَّهُ وَ ٰ⁠سِعٌ عَلِیمࣱ

“Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi Raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi Raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.”

وَقَالَ لَهُمۡ نَبِیُّهُمۡ إِنَّ ءَایَةَ مُلۡكِهِۦۤ أَن یَأۡتِیَكُمُ ٱلتَّابُوتُ فِیهِ سَكِینَةࣱ مِّن رَّبِّكُمۡ وَبَقِیَّةࣱ مِّمَّا تَرَكَ ءَالُ مُوسَىٰ وَءَالُ هَـٰرُونَ تَحۡمِلُهُ ٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةُۚ إِنَّ فِی ذَ ٰ⁠لِكَ لَـَٔایَةࣰ لَّكُمۡ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِینَ

“Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda Kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman”.”



(2)     Imam Qurtubi R.A di dalam tafsirnya menukilkan bahawa ilmu dan kekuatan menjadi keutamaan dalam memimpin. Ada yang menafsirkan kekuatan tersebut bermaksud keberanian.

Selain itu, ada yang berpendapat ilmu yang diberikan kepada Talut itu adalah ilmu perang, yang menjadikannya layak sebagai kepimpinan.

(3)     Imam Qurtubi juga mengisyaratkan bahawa berdasarkan ayat ini, kepimpinan itu bukanlah diangkat disebabkan keturunan. Kerana Talut bukanlah berketurunan Raja.

Sebab itulah pelantikannya dipertikai. Apatah lagi Syed Qutb menyatakan di dalam Fi Zhilal bahawa mereka yang mempertikaikan itu adalah golongan pembesar dan cendekiawan.

Perangai lama Bani Israel

(1)     Bani Israel yang dipimpin oleh Talut bangkit berperang dengan bangsa yang dipimpin oleh Jalut, sekalipun Talut ‘diboikot’ oleh golongan yang tak berpuas hati terhadap pelantikan beliau

Akhirnya kemenangan berpihak kepada Bani Israel dan Jalut dibunuh oleh Nabi Daud A.S. Bani Israel kembali memerintah Palestin dengan kepimpinan Nabi Daud A.S selepas Talut.

(2)     Kemudiannya kepimpinan disambung oleh Nabi Sulaiman A.S yang disebut oleh sejarawan sebagai Raja Dunia. Selepas kewafatan Nabi Sulaiman A.S, Bani Israel kembali buat perangai.

Sebahagian dari kalangan mereka enggan melaksanakan Islam. Menyebabkan Palestin terpecah menjadi dua. Di saat itu, Palestin ‘dilanggar’ oleh Nebuchadnezzar dari Babylon.

(3)     Bani Israel selepas daripada era ini mula mempelajari kesilapan lalu. Mereka mula memahami rahsia kenapa Nabi Musa A.S mengarahkan Bani Israel memasuki Palestin.

a-     Pandangan jauh Nabi Musa A.S sebagai pimpinan Bani Israel ketika itu, merupakan wahyu daripada Allah S.W.T. Ia tidak dapat difahami dengan jelas oleh mereka.

b-     Begitu juga pandangan jauh Yusha’ bin Nun yang meneruskan legasi Nabi Musa A.S untuk membawa Bani Israel memasuki Palestin. Juga mereka sukar memahaminya.

Mereka mula menyedari bahawa segalanya itu adalah klu untuk memerintah dunia ialah ‘Palestin’. Sebab itulah hari ini mereka merancang untuk merembat Palestin daripada Umat Islam.

Mewarisi kebijaksanaan

(1)     Di dalam Tafsir Qurtubi, Imam Qurtubi menukilkan bahawa peti yang terkandung di dalamnya khazanah keluarga Nabi Musa A.S itu jugalah yang mengandungi khazanah daripada Nabi-nabi terdahulu.

Ia mula diturunkan kepada Nabi Adam A.S diwarisi sehinggalah Nabi Ya’qub A.S. Seterusnya diturunkan sehinggalah Nabi Musa A.S dan Yusha’ bin Nun yang memimpin Bani Israel.

(2)     Disebabkan kemaksiatan yang mereka lakukan selepas memasuki Palestin di bawah pimpinan Yusha’ bin Nun, peti tersebut dilenyapkan daripada mereka di era penjajahan selepas itu.

Kemudian ditemui dan diwarisi oleh Talut yang memimpin Bani Israel selepas itu rampasan semula. Seolah-olah ia menjadi isyarat bahawa peti itu adalah warisan yang penting.

(3)     Sepertimana yang saya nukilkan di awal tadi, Hadis Nabi S.A.W yang mewariskan ilmu. Sepertimana di dalam hadis yang lain;



إن العلماء ورثة الأنبياء، إن الأنبياء لم يورثوا ديناراً ولا درهما، وأورثوا العلم، فمن أخذه؛ أخذ بحظ وافر

“Ulamak adalah pewaris para Nabi. Dan sesungguhnya para Nabi S.A.W tidak mewariskan dinar ataupun dirham (kekayaan), sebaliknya mereka mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya (ilmu) maka dia telah mengambil keuntungan yang banyak.”



(4)     Di dalam Surah An Namlu ayat 15 dan 16, dan Surah Maryam ayat 5 dan 6, sebagai contoh warisan para Nabi itu adalah ilmu. Sebelum ini saya ada nukilkan bahawa tujuan ilmu itu adalah kebijaksanaan.

Berdasarkan tafsir al-Quran dan huraian beberapa hadis, kita akan dapati bahawa Ulamak itu selari dengan ciri-ciri kepimpinan. Antaranya diertikan dengan أولى الأمر, سواد الأعظم dan lain-lain.

Krisis kepimpinan hari ini

(1)     Solusinya ialah Umat Islam perlu peka untuk bertindak mewarisi kebijaksanaan tokoh kepimpinan mereka. Bagi melahirkan generasi kepimpinan akan datang.

Sekiranya Umat Islam masih di takuk lama, hanya tahu menjulang seseorang tokoh tanpa memahami pemikirannya, sangatlah malang. Apatah lagi golongan yang hanya tahu claim.

(2)     Ingatlah beberapa perangai orang munafiq, apabila mengerjakan haji, mereka melaungkan لبيك dengan kuat bagi menampakkan mereka itu mengerjakan haji bersama Baginda S.A.W.

Mereka hanya pandai claim, ‘kami bersama Nabi S.A.W’, tetapi di dalam hati mereka bukanlah berjuang atas dasar Islam. Bahkan, ada dari kalangan mereka yang sanggup bergadai nyawa

(3)     Realiti hari ini kita lihat bagaimana umat Islam berhadapan dengan krisis kepimpinan. Khususnya setelah kejatuhan Uthmaniah pada 1924. Sejak itulah Umat Islam berterabur di negara masing-masing.

Ada yang tertindas, ada yang bergaduh sesama sendiri dan ada yang menyendiri di gua-gua. Segalanya berpunca daripada krisis kepimpinan yang melanda Umat ini.

(4)     Seolah-olah realiti yang melanda Bani Israel satu ketika dahulu, terjadi pula pada Umat Nabi Muhammad S.A.W pada hari ini. Apabila tiada seorang pun yang boleh diharap untuk menyatukan Umat Islam.

Kalau ada pun, mereka ini pasti akan dimaki oleh saudara seislamnya sendiri. Mungkin atas alasan perbezaan mazhab dan aliran. Isu isu Bani Israel satu ketika dahulu seolah-olah sedang terjadi hari ini.

Benarlah sepertimana kata-kata Asy Syahid Syed Qutb;



وقصة بني إسرائيل هي أكثر القصص ورودا في القرآن الكريم; والعناية بعرض مواقفها وعبرتها عناية ظاهرة، توحي بحكمة الله في علاج أمر هذه الأمة المسلمة، وتربيتها وإعدادها للخلافة الكبرى

“Dan kisah Bani Israel merupakan kisah yang paling banyak disebutkan di dalam al-Quran, dan memberi fokus kepada pengajarannya merupakan satu fokus yang menampakkan kebijaksanaan Allah S.W.T di dalam memulihkan permasalah ummat Islam, susunannya, dan mempersiapkannya untuk pembentukan khilafah (kepimpinan).”

HARAKAHDAILY 27/11/2019

- Advertisement -