Agenda terselindung bawa pulang abu mayat

- Advertisement -

IPOH: Ketua Muslimat PAS Negeri Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad mengecam tindakan membenarkan abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke Perak.

- Advertisement -

Menurutnya, meskipun Chin Peng dilahirkan di Perak, namun tindakan membawa pulang abu mayat beliau tanpa pengetahuan rakyat Malaysia merupakan satu tindakan yang melampau.

“Apakah motif sebenar Kerajaan PH membenarkan hal sedemikian berlaku? Siapakah pemimpin PH yang menjadi dalang utama dalam agenda jahat ini?” selarnya tegas.

Menurut beliau, tindakan rakus pihak terlibat langsung tidak mengendahkan sensitiviti ahli keluarga bekas para perajurit yang telah terkorban demi memperjuangkan kemerdekaan negara ini.

“Rakyat Malaysia pasti mengingati sejarah Chin Peng yang dikenali dengan pengganas Komunis yang diketuainya menggunakan taktik gerila melancarkan serangan terhadap balai-balai polis dan kampung-kampung.

“Komunis membunuh ramai anggota pasukan keselamatan dan orang awam. Apakah pihak yang terlibat tidak merasa bahawa tindakan ini mengguris hati banyak pihak? Saya yakin, pastinya ini bukan sebuah perkara yang kebetulan, tetapi mempunyai agenda yang terselindung,” tegas Dr Najihah.

Pun begitu ulasnya, pihak berwajib digesa mengambil tindakan dan membuat siasatan terhadap pihak terlibat yang boleh mencetus ketegangan rakyat Malaysia ini bagi mengelakkan hal berkaitan tidak berulang lagi. – HARAKAHDAILY 27/11/2019

- Advertisement -