Nuqaba’ terus diperkasakan untuk pimpin usrah

    - Advertisement -

    BATU KAWAN: Pelancaran Majlis Nuqaba’ Negeri Pulau Pinang yang mengumpulkan seramai lebih 160 nuqaba’ dan naqibat telah berlangsung di Majmak Turath Islami, Juru, di sini kelmarin.

    - Advertisement -

    Pengarah Majlis Nuqaba’ PAS Pusat, Ustaz Zainudin Abu Bakar membentangkan kertas kerja Usrah dan Pelaksanaannya serta Dasar Penstrukturan Majlis Nuqaba’ sebagai panduan kepada para nuqaba’.

    Beliau menekankan kepentingan usrah sebagai medium untuk menjelaskan fikrah Islam kepada para ahli di samping menolak idealogi jahiliyah moden seperti Liberalisme, Pluralisme, Komunisme, Pragmatism dan lain-lain.

    Sebagai bekalan, beliau berpesan agar semua ahli PAS memperuntukkan masa khusus setiap hari untuk membaca Al-Quran dan bukan hanya pada masa terluang dengan mewajibkan diri membaca surah tertentu seperti Al-Waqiah dan Al-Kahfi.

    “Tidak cukup tilawah sahaja, bahkan ahli PAS perlu memahami tafsiran ayat-ayat Al-Quran dengan memperuntukkan wang untuk membeli kitab tafsir berbahasa Melayu atau yang diterjemahkan  seperti Tafsir Al-Azhar mahupun Tafsir Ibnu Kathir untuk memantapkan pengisian usrah.

    “Begitu juga setiap ahli usrah perlu diwajibkan membawa kitab manhaj usrah supaya dapat fokus sepenuhnya tanpa perlu berkongsi manhaj. Sebagai naqib usrah, saya akan meminta individu yang tidak membawa manhaj untuk menyampaikan pengisian usrah sebagai dendaan.

    “Adab-adab usrah adalah kewajipan untuk dipatuhi contohnya dengan membalas segera mesej di WhatsApp untuk maklumkan kehadiran kerana niat sudah berpahala, dan bukan berdiam diri menunggu ada halangan untuk membalas mesej menyatakan tidak dapat hadir,” tegas beliau.

    Dalam pembentangannya, Ustaz Zainudin turut berkongsi tiga faktor kejayaan usrah iaitu naqib berwibawa, naqib dan ahli beramal dengan pengisian usrah, serta usrah dilaksanakan dengan cara yang betul.

    Naqib berwibawa menurut beliau, perlu menguasai isu semasa bagi menjawab persoalan ditimbulkan dalam usrah, selain bijak mengendalikan ahli usrah yang mempersoalkan arahan pimpinan dan menghentikan perbahasan perkara khilaf merugikan masa.

    Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof pula mengharapkan agar penubuhan Majlis Nuqaba’ Negeri akan dapat menyelaraskan gerak kerja hingga mencapai objektif sebagaimana digariskan PAS Pusat.

    Menurut beliau PAS sebagai sebuah parti yang dasar dan pendekatannya adalah Islam, hendaklah memperkemas fikrah dan kefahaman Islam ahli-ahli dari peringkat Kawasan dan Cawangan melalui usrah dijalankan.

    Turut hadir dalam program ini adalah Ketua Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Tajudin Abu Bakar dan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden. – HARAKAHDAILY 26/11/2019

    - Advertisement -