Isu OKU diketengah ke Parlimen menerusi wakil PAS

    - Advertisement -

    KUALA LUMPUR: Sekretariat Prihatin OKU Malaysia telah menyerahkan memorandum berkenaan Orang Kelainan Upaya (OKU) bertajuk ‘Kepedulian Belanjawan – Cabaran Buat OKU’ ke Parlimen sempena Sidang Dewan Rakyat, semalam.

    - Advertisement -

    Serahan dilakukan Pengerusi Sekretariat OKU Malaysia, Mohd Faizal Che Yusof melalui Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Timbalan Presiden PAS di Pejabat Ketua Pembangkang, Tingkat 13 Bangunan Parlimen, di sini.

    Memorandum ini bertujuan memastikan kepedulian kerajaan kepada isu-isu dihadapi OKU seluruh negara supaya melakukan penambahbaikan kepada institusi yang berkaitan berasaskan kepada tiga perkara.

    Pertama, Akta OKU 2008 boleh dianggap kaku tanpa suatu usaha yang agresif dan kedua, pembangunan OKU bersifat rentas sektor dengan pemerkasaan usaha advokasi oleh pihak berkuasa.

    “Ketiga, pandangan masyarakat terutamanya pembuat dasar agar terus condong kepada belas simpati tanpa menekankan potensi dan keupayaan diri yang ada pada diri individu OKU,” ujar memorandum itu.

    Turut hadir mengiringi adalah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Dr Rosni Adam dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Siti Zailah Mohd Yusof serta Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.

    Menurut Faizal, pihaknya juga bersedia membantu Ahli-ahli Parlimen PAS untuk mengenengahkan isu OKU dengan memberi segala input berkaitan untuk dibahaskan di Parlimen. – HARAKAHDAILY 26/11/2019

    - Advertisement -