Iran: Isu umat Islam vs sentimen mazhab

- Advertisement -

REVOLUSI Iran 1979

(1)     Syiah merupakan satu fahaman yang tersimpang daripada ajaran Nabi S.A.W yang muncul atas sebab isu politik yang terjadi pada zaman Saidina Ali R.A.

Selain daripada Syiah, terdapat satu lagi fahaman yang dinamakan sebagai Khawarij. Kemunculan kedua-dua ini disebabkan isu politik, bukan isu aqidah.

(2)     Di dalam artikel ini, saya tidaklah berniat untuk menceritakan apa itu fahaman Syiah atau Khawarij, akan tetapi lebih kepada satu bentuk wacana atau perbincangan tentang isu-isu umat Islam pada hari ini.

(3)     Sebelum ini saya pernah menulis satu artikel tentang sengketa zaman-berzaman antara Amerika yang merupakan kuasa besar dunia, dan Iran yang menjadi pencabar utama sejak 1979.

Amerika mula memberi perhatian terhadap Iran khususnya, setelah mana tercetusnya Revolusi Iran pada 1979. Revolusi tersebut terjadi di luar jadual perancangan Amerika.

Bahkan revolusi tersebut menyebabkan Amerika berasa tercabar dengan kebangkitan Islam yang dicetuskan oleh al-Khomeini

(4)     Imam Said Hawa ada mengkritik kebangkitan Iran yang lebih sinonim dengan kebangkitan Syiah dalam bukunya الخمينية. Di kala itu umat Islam seluruh dunia sedang tersilau dengan kebangkitan itu.

Walaupun sedemikian, Amerika masih melihat bahawa aliran-aliran atau mazhab ini semuanya masih lagi dalam Islam. Mereka melihat tidak sepatutnya Islam itu muncul sebagai satu kuasa besar.

Khadam Amerika

(1)     Negara-negara umat Islam banyak, akan tetapi beberapa negara Islam sahaja yang mempunyai pendirian yang tegas terhadap Amerika. Antaranya ialah Iran yang dipanaskan dengan isu Syiah.

Manakala negara-negara yang mengaku Ahlus Sunnah Wal Jamaah, ada yang menjadi khadam kepada Amerika seperti Arab Saudi dan Mesir.

(2)     Bahkan sebahagian agamawan mendapati tindakan berdiplomasi dengan Iran dalam isu Umat Islam adalah usaha taqrib antara Sunni dan Syi’i. Walaupun tidak dinafikan ia pernah diusahakan

Hakikatnya ia adalah isu-isu yang melibatkan kepentingan umat Islam khususnya apabila mendapati umat Islam sentiasa terjerat dengan mainan mazhab yang dicetuskan oleh Amerika

Mereka yang ‘sembang lebat’ bab kesesatan Syiah, bersantai di atas kerusi yang empuk, seolah-olah tidak sedar realiti Umat Islam yang tergadai di banyak negara atas agenda Amerika.

(4)     Arab Saudi, Mesir, UAE dan beberapa negara Arab yang menjadi khadam Amerika, dengan rakusnya campur tangan dalam politik beberapa buah negara Islam yang lain antaranya Sudan.

Amerika dan Israel bertepuk tangan melihat Sudan akhirnya pada April 2019 berjaya menggulingkan Presiden mereka atas alasan yang tak berapa masuk akal. Ia juga hasil usaha negara-negara Islam yang kamcing dengan Amerika.

Amerika Israel tidak perlu bersusah payah menghantar tentera dan membelanjakan peruntukan yang besar untuk projek ini. Cukup dengan memberi arahan kepada khadam.

Pemetaan semula Asia Barat

(1)     Sebelum ini saya pernah menulis beberapa artikel tentang pemetaan semula Asia Barat. Kita dapat lihat bagaimana projek bermula daripada pemetaan semula Asia Barat yang dilukis oleh Bernard Lewis pada 1983.

Lakaran seterusnya diilhamkan oleh Ralpd Peters pada 2006, dan seterusnya lakaran yang dibuat oleh Robin Wright pada 2013 [Gambar], pasca Arab Spring.

(2)     Usaha melakar pemetaan ini menyaksikan bagaimana Barat merancang untuk melaga-lagakan umat Islam dengan isu mazhab yang berpanjangan.

Sebagai contoh, pemetaan semula Asia Barat yang dilakar oleh Robin Wright pada 2013 memecahkan negara umat Islam daripada 5 buah menjadi 14 buah negara.

Pecahan ini dibuat mengikut perbezaan mazhab, contohnya negara baru Alawistan, Sunnistan dan Syiistan. Ketiga-tiga negara ini dikerat daripada Syria dan Iraq.

(3)     Pemetaan Robin Wright juga memecahkan Yaman kepada dua, iaitu Yaman Utara dan Yaman Selatan. Kedudukan Yaman Utara dikuasai oleh Houti.

Kedudukan sempadan kedua-duanya sangat rapat dengan Teluk Aden, yang menjadi pintu masuk kepada laluan kapal Tanduk Afrika. Adakah kebetulan atau memang disengajakan?

a-     Sempadan kedua-dua pecahan itu sangat rapat dengan Teluk Aden. Tak pelik kalau saya katakan Amerika Israel merancang untuk menghuru-harakan kawasan tersebut.

b-     Ia bertujuan memastikan pintu masuk ke Tanduk Afrika itu tidak dikuasai oleh sesiapa. Ini membuka peluang kepada Amerika Israel untuk ‘lepak dengan tenang’ di kawasan tersebut.

Sentimen mazhab

(1)     Sekiranya kita meneliti isu-isu antarabangsa kita akan dapati terlalu banyak krisis Umat Islam yang tercetus disebabkan pertembungan mazhab.

a-     Antara yang menjadi mangsa ialah Syria yang mana pada peringkat permulaannya dipropagandakan dengan isu mazhab. Umat Islam yang sedang fanatik isu mazhab mengecam Basyar Asad.

Tidak dinafikan, beliau memang zalim. Sama sahaja seperti pimpinan negara Arab yang lain, seperti Hosni Mubarak dan Fatah Sisi. Cuma, Umat Islam diprovok dengan pertembungan mazhab.

b-     Tatkala Umat Islam yang sedang fana’ dengan sentimen mazhab di Syria, tiba-tiba Donald Trump mengumumkan Bukit Golan yang terletak dalam negara Syria menjadi milik Negara Haram Israel.

Tetapi Umat Islam masih lagi belum merasa ‘tertipu’ kerana sedang fana’ dalam sentimen mazhab. Seolah-olah mereka berkata ‘padan muka Syiah’. Hakikatnya tanah Umat Islam tergadai begitu sahaja tanpa sebarang penentangan.

(2)     Sama juga di Yaman. Di awal cetusan Revolusi Yaman oleh Houti, dijaja sekeliling dunia ia adalah angkara sengketa mazhab. Orang-orang Yaman sendiri pelik bagaimana boleh jadi isu.

a-     Mereka selama ini hidup dengan dimensi Syiah tidaklah sampai bersentimen begitu. Tetapi rata-rata Umat Islam di luar Yaman termakan dengan dakyah media lantas mengecam Syiah.

b-     Memang tak dinafikan Houti itu Syiah. Tetapi siapa yang menaja mereka untuk bangkit? Tanyalah Arab Saudi yang menjadi member kamcing Israel. Revolusi di Yaman akhirnya tidak menguntungkan penaja mereka.

Baru-baru ini setelah hilangnya mendung konflik, akhirnya sinar mentari mula menyinari. Kelihatan konflik di Yaman yang ditaja oleh Arab Saudi itu memberi keuntungan kepada Iran.

Normalisasi

(1)     Apabila kita lihat bagaimana Amerika Israel menjalankan projek normalisasi. Negara-negara Arab yang terliur dengan bantuan Israel akan menghulurkan tangan kerjasama.

Kesannya ialah, harapan Umat Islam Palestin untuk mendapatkan kembali negara mereka semakin terkubur. Di kala Israel mula menapak di Palestin, mereka mendapat tentang sengit daripada negara-negara Arab.

Berbeza dengan hari ini apabila Palestin dibiarkan oleh negara-negara Arab atas slogan normalisasi. Mesir dan Arab Saudi antara negara yang sangat memberi komitmen.

(2)     Mesir yang terkenal dengan Universiti al Azhar, dan didakwa menjadi kubu Ahlus Sunnah Wal Jamaah, turut menghulur tangan kerjasama dengan Amerika.

Amerika mengatur langkah persetujuan dengan Mesir untuk menjayakan agenda Deal Of The Century. Rakyat Palestin yang berbaki di Gaza, dihalau ke Sinai.

Mesir membuka tangan untuk menerima rakyat Gaza untuk duduk di Sinai. Rancangan ini selaras dengan agenda Donald Trump itu untuk memastikan Gaza sepenuhnya di bawah Israel.

(3)     Arab Saudi juga antara negara yang kamcing dengan Amerika Israel. Negara yang dikatakan berpegang dengan al-Quran dan Hadis Shahih itu sangat bersemangat dalam bab bid’ah.

Tetapi boleh saja bersembang semeja kopi dengan Mesir dan Amerika. Bukankah Mesir dilihat berkobar-kobar menentang wahhabi sehingga Ikhwan Muslimin turut terpalit dalam isu ini?

a-     Mesir cukup anti dengan Ikhwan Muslimin sehingga melabelkan gerakan ini dengan keganasan. Lalu penggerak-penggerak gerakan ini dilabel Wahhabi teroris, dan dijatuhkan hukuman gantung.

b-     Namun, apabila bersama dengan Arab Saudi yang terkenal dengan Bapa Wahhabi itu, boleh saja duduk semeja. Bukan setakat itu, boleh pula berpakat menjayakan agenda Amerika.

Umat Islam menjadi mangsa

(1)     Apabila kita melihat sikap Mesir dan Arab Saudi, kita dapati bahawa isu sebenar Umat Islam bukanlah sentimen mazhab. Akan tetapi isunya ialah kepentingan Amerika.

Sepertimana yang saya sebutkan, antara kuasa yang mengganggu gugat kepentingan Amerika ialah Iran. Iran berpotensi untuk mencabar Amerika.

Sebagai pertahanan dalam isu ini, Amerika mengambil pendekatan untuk menyemarakkan isu sentimen mazhab agar Umat Islam tidak bersatu bersama Iran.

(2)     Umat Islam yang ‘tercelup’ dengan mainan Amerika ini mula memainkan isu Syiah yang tak berkesudahan. Kesesatan Syiah dan kejahatan terdahulu mereka ditimbulkan semula.

a-     Seolah-olah Umat Islam sedang hidup di zaman kegemilangan Islam. Ya, di zaman kegemilangan Islam boleh lah nak bersembang bab kesesatan Syiah dan kejahatan mereka.

b-     Realiti hari ini, yang lebih jahat itu adalah Amerika. Umat Islam seolah-olah melihat Amerika itu lebih wajar dibuat kawan berbanding Iran. Hanya bersandar dengan alasan yang dijaja, iaitu Syiah itu sesat.

(3)     Menajamkan kesesatan Syiah dilihat seiringan dengan normalisasi terhadap Israel. Menjadikan Israel dan Amerika itu sebagai rakan, manakala Iran yang menganut Syiah itu sebagai musuh abadi.

Apa nasib negara Umat Islam yang tertindas? Seolah-olah Umat Islam seluruh dunia lebih sanggup dibunuh oleh Amerika dan dirampas tanah negaranya, asalkan tidak berdiplomasi dengan Syiah. – HARAKAHDAILY 26/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -